WASHINGTON: Pentadbiran Donald Trump telah memecat sekurang-kurangnya 12 pegawai badan pemerhati kerajaan lewat Jumaat malam, satu tindakan yang berkemungkinan melanggar undang-undang dan cabaran di mahkamah.

Bercakap dari Dewan Senat pada Sabtu, pemimpin minoriti Senat, Chuck Schumer menyifatkan pemecatan itu sebagai "pembersihan yang menggerunkan."

"Pemecatan ini adalah cara Donald Trump memberitahu kita bahawa dia takut pada kebertanggungjawaban dan bersikap bermusuhan terhadap fakta dan ketelusan," kata Schumer, seorang Demokrat dari New York.

Sehingga kini, White House  belum mengesahkan pemecatan tersebut dan tidak menjawab permintaan komen daripada BBC.

Menurut CBS News, pegawai badan pemerhati kerajaan yang terlibat menerima emel dari pengarah kakitangan Presiden pada tengah malam Jumaat menyatakan, "disebabkan perubahan keutamaan, jawatan anda sebagai pegawai pengawasan... telah ditamatkan, berkuat kuasa serta-merta".

Kumpulan pegawai yang dipecat termasuk pegawai pengawasan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) serta pegawai pengawasan Pentadbiran Perniagaan Kecil, kata CBS.

The New York Times melaporkan, terdapat pelbagai senarai pegawai yang dipecat yang dikatakan merangkumi pegawai di jabatan pertanian, perdagangan, pertahanan, pendidikan, perumahan dan pembangunan bandar, dalam negeri, buruh, pengangkutan, hal ehwal veteran dan juga di agensi perlindungan alam sekitar.

Kongres mewujudkan jawatan pengawasan (Inspektor Jeneral) selepas skandal Watergate, sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan untuk mengekang rasuah, pembaziran dan penyelewengan.

Pegawai-pegawai ini adalah bebas, bekerja dalam agensi Persekutuan tetapi tidak dikawal oleh ketua agensi dan bertindak sebagai pengawal untuk mengelakkan salah guna kuasa.

Walaupun dilantik oleh Presiden, mereka dijangka berkhidmat secara nonpartisan.

Tindakan pemecatan ini mungkin melanggar undang-undang yang menghendaki White House memberikan notis 30 hari dan maklumat khusus kepada Kongres sebelum memecat seorang pegawai pengawasan Persekutuan.

Hannibal Ware, Inspektor Jeneral Pentadbiran Perniagaan Kecil dan ketua majlis pengawasan agensi-agensi menghantar surat kepada Sergio Gor, ketua Pejabat Kakitangan Presiden White House, menyarankan bahawa pemecatan tersebut tidak sah.

"Saya mencadangkan agar anda berunding dengan White House mengenai tindakan yang dimaksudkan," tulis Ware.

"Pada ketika ini, kami tidak percaya bahawa tindakan yang diambil sudah cukup sah untuk memecat Inspektor Jeneral yang dilantik Presiden dan disahkan oleh Senat."

Demokrat pantas mengkritik Presiden atas tindakan itu.

Schumer berkata langkah itu adalah "petanda awal pendekatan tidak sah" yang diambil Trump dan pentadbirannya.

Gerry Connolly, seorang Demokrat dari Virginia dan anggota utama Jawatankuasa Pemantauan Dewan menyifatkan pemecatan itu sebagai "rampasan kuasa malam Jumaat" dan "serangan terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban."

Beberapa penggubal undang-undang Republikan termasuk Senator Chuck Grassley dari Iowa dan Senator Susan Collins dari Maine juga menyatakan kebimbangan terhadap tindakan itu.

"Saya tidak faham mengapa seseorang mahu memecat individu yang misinya adalah untuk membasmi pembaziran, penipuan dan salah guna kuasa," kata Collins di Capitol pada Sabtu. "Saya tidak memahaminya." - Agensi