Jepun, yang melihat pakatan itu sebagai tunjang pertahanan dan diplomasinya, juga akan "secara proaktif" mempertimbangkan cara untuk mengukuhkan keupayaan pencegahan dan tindak balas pakatan itu dan mengekalkan komunikasi rapat dengan AS, kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Jepun dan AS telah meningkatkan kebolehoperasian Pasukan Pertahanan Diri dan tentera AS dalam menghadapi ancaman keselamatan yang semakin meningkat daripada Korea Utara dan China.
Hayashi berkata kedua-dua negara kini boleh "membantu satu sama lain tanpa halangan" dalam menghadapi pelbagai situasi selepas perubahan undang-undang yang membolehkan Jepun, yang perlembagaannya menolak peperangan, untuk melaksanakan hak pertahanan diri kolektif apabila syarat tertentu dipenuhi.
"Kami mempunyai kepercayaan penuh bahawa Amerika Syarikat akan memenuhi tanggungjawabnya di bawah perjanjian keselamatan Jepun-AS dengan menggunakan semua keupayaan yang ada, termasuk senjata nuklear," kata Hayashi dalam satu taklimat media rutin.
Menteri Pertahanan Gen Nakatani turut mengulangi pandangan itu dalam kenyataannya kepada wartawan. Walaupun beliau enggan mengulas secara langsung mengenai kenyataan Trump, beliau menekankan bahawa Tokyo sedang "bekerja untuk memperkukuh secara asas" keupayaan pertahanannya ke arah matlamat untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) menjelang 2027.
Kembalinya Trump telah menimbulkan kebimbangan bahawa Washington akan memberi tekanan lebih kepada sekutunya untuk berbelanja dan melakukan lebih banyak usaha bagi mempertahankan diri mereka.
Beliau telah menimbulkan keraguan terhadap NATO, manakala Elbridge Colby, yang dilantik sebagai timbalan setiausaha pertahanan untuk dasar dalam pentadbiran Trump, menggesa Jepun untuk meningkatkan belanjawan mereka kepada tiga peratus daripada KDNK awal minggu ini.
Di bawah pakatan keselamatan Jepun-AS, tentera AS ditempatkan di Jepun, kebanyakannya di Okinawa, yang dekat dengan Taiwan dan Kepulauan Senkaku di Laut China Timur. Kepulauan Senkaku, yang ditadbir oleh Jepun tetapi dituntut oleh China, telah menjadi punca ketegangan antara Tokyo dan Beijing.
Dalam sidang kemuncak pertama mereka pada Februari, Perdana Menteri Shigeru Ishiba mengesahkan dengan Trump bahawa kepulauan yang tidak berpenghuni itu dilindungi oleh perjanjian keselamatan tersebut.
-- BERNAMA
