WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kekal dengan pendiriannya untuk melaksanakan tarif terhadap barangan dari Mexico dan Kanada, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Mereka semua sudah bersedia. Ia akan berkuat kuasa esok," kata Trump di Washington pada Isnin ketika ditanya sama ada masih ada peluang untuk mencapai persetujuan.

Beliau menegaskan bahawa tiada ruang untuk Mexico dan Kanada mencapai penyelesaian, sekali gus mengulangi bahawa tarif 25 peratus akan dikuatkuasakan pada Selasa ke atas barangan dari kedua-dua negara itu.

Minggu lalu, Presiden AS itu juga mengumumkan tarif tambahan 10 peratus ke atas barangan dari China yang turut dijadual berkuat kuasa pada hari yang sama.

Pada awal Februari, Trump bersetuju untuk menangguhkan keputusan itu selepas Mexico dan Kanada memenuhi tuntutan AS, khususnya berkaitan keselamatan sempadan.

Tindakan itu dibuat beberapa jam sebelum tarif 25 peratus dikuatkuasakan, dengan sekatan perdagangan ditangguhkan sekurang-kurangnya 30 hari.

Langkah terbabit berjaya mengelakkan perang perdagangan di rantau Amerika Utara, yang berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi global.

Bagaimanapun, kerajaan AS mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas import dari China.

Beijing membalas dengan langkah serupa.

-- BERNAMA