WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata beliau akan mengumumkan tarif ke atas kereta import pada awal April, langkah yang mungkin memberi kesan langsung kepada industri automotif Korea Selatan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Trump mengumumkan rancangan untuk mendedahkan tarif kereta pada 2 April, kerana beliau menggunakan tarif sebagai "alat utama" bagi mengecilkan defisit perdagangan AS, meningkatkan pembuatan domestik dan mencapai matlamat dasar lain, termasuk menghalang kemasukan pendatang tanpa izin serta dadah.

Di tengah-tengah dasar berasaskan tarif Trump, timbul kebimbangan bahawa ekonomi keempat terbesar Asia itu mungkin menjadi sasaran pentadbirannya, memandangkan lebihan perdagangan Korea Selatan dengan AS mencecah AS$55.7 bilion tahun lepas.

"Kami akan melakukannya pada 2 April, saya rasa. Betul ke?" tanya Trump kepada pembantunya, yang menjawab, "Betul."

Presiden itu bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada beliau hanya akan mengumumkan tarif pada 2 April atau ia akan berkuat kuasa pada hari yang sama.

AS merupakan pasaran eksport kereta utama bagi Korea Selatan. Daripada jumlah eksport kereta Korea Selatan tahun lepas, eksport ke AS berjumlah AS$34.7 bilion atau 49.1 peratus. Tiada tarif AS dikenakan ke atas kereta Korea sejak 2016 di bawah perjanjian perdagangan bebas dua hala.

Pengumuman tarif kereta itu dibuat ketika pentadbiran Trump sedang berusaha melaksanakan tarif "timbal balik" ke atas import AS bagi menyamai kadar yang dikenakan negara lain ke atas barangan Amerika.

Pentadbiran itu sebelum ini mengumumkan rancangan mengenakan tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium bermula 12 Mac, selain menimbang tarif baharu ke atas cip dan farmaseutikal.

Pengumuman tarif Trump sedang dipantau dengan teliti oleh pegawai Korea Selatan di tengah-tengah kebimbangan bahawa penyelarasan dasar dengan Washington mungkin lebih perlahan berbanding sebelum ini berikutan ketidaktentuan politik di Seoul susulan percubaan Presiden Yoon Suk Yeol yang didakwa untuk melaksanakan undang-undang tentera pada awal Disember.

Menteri Luar Korea Selatan Cho Tae-yul berkata beliau merancang untuk membincangkan isu tarif itu dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio ketika kedua-dua pihak bertemu di forum keselamatan antarabangsa di Munich, Jerman pada Sabtu.

Trump sebelum ini telah mengenakan tarif 10 peratus ke atas semua barangan China yang memasuki AS, manakala beliau menangguhkan sementara pengenaan tarif 25 peratus ke atas Kanada dan Mexico selepas kedua-dua negara bersetuju meningkatkan usaha membanteras penyeludupan dadah di sempadan mereka dengan AS.

-- BERNAMA