"Saya mahu perjanjian dibuat dengan Iran yang bukan berkaitan nuklear. Saya lebih memilih itu berbanding mengebom mereka," katanya dalam temu bual bersama The New York Post di dalam pesawat rasmi Air Force One pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran mengenai rundingan yang mungkin boleh diadakan dengan Iran.
"Saya tidak boleh mengatakan kerana ia terlalu sensitif. Saya tidak akan mengebom mereka," katanya ketika ditanya apa yang boleh ditawarkan kepada Iran sebagai balasan.
Pada 5 Februari, Trump menyatakan beliau lebih memilih perjanjian damai nuklear yang boleh disahkan, membolehkan Iran membangun secara aman, sambil menambah bahawa usaha ke arah itu perlu dimulakan segera.
Pada 2015, United Kingdom, Jerman, China, Rusia, AS, Perancis dan Iran memeterai perjanjian nuklear dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), yang menawarkan pelepasan sekatan sebagai pertukaran kepada sekatan ke atas program nuklear Iran.
Ketika pentadbiran Trump sebelum ini, AS menarik diri daripada JCPOA pada Mei 2018 dan mengenakan semula sekatan terhadap Tehran. Sebagai tindak balas, Iran secara berperingkat mengurangkan komitmennya di bawah perjanjian itu, termasuk dalam mengehadkan penyelidikan nuklear dan tahap pengayaan uranium.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS Marco Rubio sebelum ini berkata Washington perlu meningkatkan tekanan ke atas Iran berhubung dakwaan cubaan Tehran untuk membangunkan senjata nuklear.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)