Trump berkata, “sudah tentu” beliau akan bertindak balas terhadap langkah balas tersebut, sambil mengulangi amaran untuk mengenakan tarif “timbal balik” bulan depan ke atas negara-negara di seluruh dunia.
“Apa sahaja yang mereka kenakan ke atas kita, kita akan mengenakan perkara yang sama ke atas mereka,” katanya.
Ancaman ini menandakan peningkatan lagi dalam perang perdagangan yang telah menggoncang pasaran kewangan, menimbulkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap ekonomi dan pengguna di banyak negara, termasuk AS.
Pada Rabu, Trump meneruskan rancangannya untuk memperluaskan tarif AS ke atas keluli dan aluminium dengan mengenakan cukai sebanyak 25 peratus secara menyeluruh dan menamatkan pengecualian yang sebelum ini diberikan kepada beberapa negara.
Tindakan itu menyusuli arahan awal bulan ini yang meningkatkan levi ke atas import dari China ke AS sekurang-kurangnya 20 peratus.
Trump juga mengancam untuk mengenakan tarif - cukai ke atas barangan yang memasuki sesebuah negara - ke atas pelbagai produk lain termasuk tembaga, kayu dan kereta.
Kanada, EU bertindak balas
Pemimpin di Kanada dan Eropah menyifatkan cukai baharu ke atas logam itu sebagai tidak berasas dan bertindak balas dengan mengenakan tarif mereka sendiri ke atas pelbagai produk AS.
Negara lain yang menjadi pembekal utama logam ke AS termasuk United Kingdom (UK), Australia, Mexico dan Brazil belum mengambil tindakan balas serta-merta.
“Seperti orang lain, saya kecewa melihat tarif global dikenakan ke atas keluli dan aluminium, tetapi kami akan mengambil pendekatan pragmatik,” kata Perdana Menteri UK, Sir Keir Starmer.
Beliau menambah, UK sedang berunding mengenai perjanjian yang merangkumi tarif dan akan terus mempertimbangkan semua pilihan.
‘Buruk untuk perniagaan, lebih buruk untuk pengguna’
Kanada mengumumkan bermula hari ini, negara itu akan mengenakan cukai 25 peratus ke atas hampir $30 bilion Kanada nilai produk AS, termasuk keluli, komputer dan peralatan sukan.
Sementara itu, EU berkata, ia akan menaikkan tarif ke atas barangan AS bernilai sehingga 26 bilion Euro, termasuk bot, bourbon dan motosikal, bermula 1 April.
Presiden EU, Ursula von der Leyen berkata, tindak balas ini bertujuan untuk menjadi “kuat tetapi seimbang” dan menegaskan, EU bersedia untuk berdialog secara bermakna.
“Tarif adalah cukai. Ia buruk untuk perniagaan dan lebih buruk untuk pengguna,” katanya, sambil memberi amaran gangguan ekonomi ini boleh mengancam pekerjaan dan meningkatkan harga barangan.
“Tiada siapa yang memerlukannya - di kedua-dua belah pihak, sama ada di Kesatuan Eropah mahupun di Amerika Syarikat.”
Impak kepada ekonomi AS dan industri makanan
Trump menegaskan, beliau mahu meningkatkan pengeluaran keluli dan aluminium di AS dalam jangka panjang tetapi pengkritik berpendapat bahawa cukai import ini akan meningkatkan harga barangan bagi pengguna AS dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dalam jangka pendek.
Beberapa syarikat makanan utama seperti Quaker Oats dan Folgers Coffee telah meminta Trump memberikan pengecualian tarif untuk import tertentu seperti koko dan buah-buahan, menurut surat yang diperoleh Reuters.
PepsiCo, Conagra dan J.M. Smucker juga meminta pengecualian bagi bahan-bahan yang tidak tersedia di AS termasuk kopi, gandum oat, koko, rempah, buah-buahan tropika dan keluli tin mill yang digunakan dalam pembungkusan makanan dan barangan isi rumah.
Selain itu, tarif import ini dijangka mengurangkan permintaan terhadap keluli dan aluminium yang dihasilkan di luar AS - satu tamparan kepada pengeluar logam di negara lain.
EU menganggarkan tarif terbaharu AS ini memberi kesan kepada kira-kira 5 peratus daripada jumlah eksportnya ke AS, manakala AS merupakan destinasi bagi kira-kira 90 peratus eksport keluli dan aluminium Kanada.
Saham di AS menunjukkan prestasi bercampur-campur pada hari Rabu selepas dua hari mengalami kejatuhan mendadak.
Indeks Dow Jones ditutup turun 0.2 peratus, manakala S&P 500 meningkat hampir 0.5 peratus dan Nasdaq melonjak 1.2 peratus.
Dalam satu penampilan bersama Perdana Menteri Ireland, Micheál Martin, di White House, Trump menegaskan, beliau tidak akan berundur dalam pertarungan perdagangan ini, sambil menyatakan bahawa beliau “tidak berpuas hati” dengan dasar perdagangan EU.
Beliau turut mengkritik penalti undang-undang yang dikenakan ke atas syarikat AS seperti Apple serta peraturan yang didakwa merugikan produk pertanian dan kereta buatan AS.
“Mereka mungkin melakukan apa yang sepatutnya untuk Kesatuan Eropah, tetapi ia mencetuskan ketidakpuasan hati,” katanya.
Mengulangi ancamannya untuk mengenakan tarif ke atas kereta buatan Eropah, Trump menambah: “Kita akan memenangi pertempuran kewangan ini.” - Agensi
