PRESIDEN Donald Trump pada Khamis mengumumkan rancangannya untuk menaikkan tarif Amerika Syarikat (AS) untuk memadankan kadar cukai yang dikenakan oleh negara lain ke atas import.

Ini sekali gus mungkin mencetuskan konfrontasi ekonomi yang lebih luas dengan sekutu dan pesaing Trump, dengan harapan untuk menghapuskan sebarang ketidakseimbangan perdagangan.

Bercakap kepada media di pejabatnya di White House, agensi berita AP melaporkan, Trump berkata bahawa, dia telah memutuskan tarif timbal balik berdasarkan keadilan.

"Saya fikir ramai daripada mereka (negara) akan kekal sama (kadar cukai). Dan apa sahaja yang mereka bayar, saya akan bayar. Itu maksud saya.

"Baiklah, kita akan ada (dasar tarif) yang mempunyai banyak persamaan dengan mereka. Saya dengar apa yang mereka katakan.

"Sebagai contoh, Kesatuan Eropah (EU) menurunkan cukai mereka ke atas kereta, kepada jumlah yang sama, sedangkan... mereka jauh lebih tinggi.

"Mereka adalah kira-kira lima kali lebih tinggi dan mereka menurunkannya ke kadar yang sama," katanya.

Pentadbiran Republikan Trump telah menegaskan bahawa tarif baharunya akan menyamakan kedudukan antara pengeluar AS dan pesaing asing, walaupun cukai baharu ini mungkin akan dibayar oleh pengguna dan perniagaan Amerika, sama ada secara langsung atau dalam bentuk harga yang lebih tinggi.

Permainan politik tarif boleh menjadi cabaran kepada Trump lantaran agendanya itu bakal mendorong ke arah kenaikan inflasi dan mengurangkan pertumbuhan.

Ditanya sama ada rakyat AS akan merasa tekanan susulan dasar tarif tersebut, ini jawab Trump kepada media:

"Anda yang kata begitu, saya tidak mengatakannya. Mari kita lihat apa yang berlaku.

"Tiada siapa yang benar-benar tahu apa yang akan berlaku selain kita tahu pekerjaan akan dihasilkan pada tahap yang tidak pernah kita lihat sebelum ini.

"Kita tahu bahawa kita fikir kadar faedah akhirnya akan turun disebabkan apa yang berlaku, dan ia perlu seiring dengan tarif.

"Kalau kita lihat, banyak sahaja barang yang turun harganya," katanya.

Pemerhati ekonomi melihat dasar tarif itu sebagai satu pertaruhan yang tinggi bagi seorang presiden yang ingin mengisytiharkan kuasanya ke atas ekonomi AS.

Menurut pegawai kanan Trump, kenaikan tarif akan disesuaikan untuk setiap negara dengan antara matlamatnya adalah untuk memulakan rundingan baharu perdagangan.

Bagaimanapun, negara lain mungkin juga merasakan keperluan untuk bertindak balas dengan kenaikan tarif mereka sendiri ke atas barangan Amerika.

Akibatnya, Trump mungkin perlu mencari cara untuk meyakinkan pengguna dan perniagaan bahawa pertumbuhan akan kekal berlaku sekali gus menangkis sebarang ketidakpastian susulan dasar tarif yang dilakukannya.

Presiden itu secara terbuka memusuhi beberapa rakan dagangan AS sejak beberapa minggu lalu, mengenakan ancaman tarif dan menjemput mereka untuk bertindak balas dengan cukai import mereka sendiri yang boleh menyebabkan ekonomi terjejas dalam perang perdagangan. - Agensi