ANKARA: Pendakwa raya Turkiye melancarkan siasatan terhadap serangan udara Israel yang mengorbankan tiga rakyat Turkiye yang cuba menyeberang dari Lubnan ke Israel, menurut kenyataan rasmi pada Rabu.

Pendakwa raya di ibu negara, Ankara berkata mereka membuka siasatan secara ex officio mengenai insiden tersebut, lapor Agensi Anadolu.

Kesemua mayat telah dihantar ke Turkiye dan prosedur bedah siasat sedang dijalankan, menurut satu kenyataan.

Setelah selesai bedah siasat, dokumen berkaitan akan dihantar ke pejabat pendakwa raya, tambah kenyataan itu.

Ketiga-tiga lelaki itu hilang bulan lalu.

Dalam beberapa hari selepas itu, Kementerian Luar Turkiye mengeluarkan kenyataan yang mengutuk dengan keras "serangan yang menyalahi undang-undang ini yang mengakibatkan kematian rakyat kami."

Menurut kenyataan itu: "Difahamkan bahawa tiga rakyat Turkiye, yang terputus hubungan ketika cuba menyeberang secara haram dari Lubnan ke Israel, kehilangan nyawa mereka akibat serangan udara Israel di kawasan itu."

-- BERNAMA