LONDON: Perdana Menteri Britain Keir Starmer mengumumkan bahawa United Kingdom (UK) dan Perancis akan bekerjasama dengan Ukraine untuk merangka pelan damai yang akan dikemukakan kepada Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), persetujuan itu dicapai susulan perbincangan antara Starmer, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Bercakap kepada Laura Kuenssberg daripada BBC, Starmer menyifatkan persetujuan itu sebagai "langkah ke arah yang betul" dan menzahirkan keyakinan terhadap inisiatif berkenaan.

Beliau berkata bahawa pelan yang bertujuan menamatkan konflik itu akan dikemukakan kepada Washington, sambil menegaskan bahawa AS bersama negara-negara Eropah memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan Ukraine.

Antara komponen utama pelan damai yang dicadangkan ialah memastikan Ukraine memiliki keupayaan pertahanan yang kukuh bagi menangkis pencerobohan Rusia, selain sokongan AS serta jaminan keselamatan dari negara-negara Eropah.

"Komponen untuk keamanan berkekalan adalah jelas: Ukraine yang kuat dan mampu mempertahankan diri, jaminan keselamatan dari Eropah, dan sokongan AS.

Itulah pakej yang diperlukan. Ketiga-tiga elemen ini perlu ada, dan saya sedang berusaha keras untuk merealisasikannya," kata Starmer.

Menyentuh mengenai pertikaman lidah antara Zelensky dan Presiden AS Donald Trump di Rumah Putih, Starmer mengakui bahawa beliau "berasa kurang selesa" menyaksikan pertelingkahan itu.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa fokus utama adalah mencapai keamanan berkekalan di Ukraine, yang disifatkannya sebagai penting untuk keselamatan meluas di Eropah.

Starmer turut mendedahkan bahawa beliau telah menghubungi Trump dan Zelensky bagi meredakan ketegangan serta menumpukan semula usaha ke arah menyokong Ukraine.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai perbualan itu, beliau menegaskan bahawa keutamaan harus diberikan kepada penamatan konflik dan jaminan keamanan jangka panjang di Ukraine.

-- BERNAMA