Perjanjian perdagangan melibatkan 12 negara itu dijangka menyumbang peningkatan ekonomi UK sebanyak 2 bilion pound (kira-kira AS$2.52 bilion) setahun dalam jangka panjang, menurut Jabatan Perniagaan dan Perdagangan UK.
Jabatan itu dalam laman sesawangnya menyatakan, penyertaan UK dalam CPTPP merupakan tonggak utama kepada Rancangan Perubahan kerajaan, yang bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pendapatan isi rumah.
Rancangan itu dijangka menyumbang peningkatan gaji isi rumah sebanyak 1 bilion pound (AS$1.26 bilion) setahun, sambil memberi manfaat kepada semua wilayah di negara itu.
“Perjanjian seperti ini meningkatkan perdagangan dan mewujudkan peluang untuk syarikat-syarikat UK di luar negara, menyokong pekerjaan, menaikkan gaji, dan merangsang pelaburan di seluruh negara,” kata Setiausaha Perniagaan dan Perdagangan UK, Jonathan Reynolds.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC UK, Ian Stuart menegaskan, kepentingan blok perdagangan itu dengan berkata: “Sejak pengumuman penyertaan UK pada Julai 2023, kami melihat peningkatan dalam pembayaran antara pasaran CPTPP dan UK, dan kami menjangkakan pertumbuhan ini akan berterusan.”
- BERNAMA