"Saya menghargai usaha Putera Mahkota dalam membawa keamanan sejati lebih dekat. Arab Saudi menyediakan platform penting untuk diplomasi, dan kami amat menghargainya," kata Zelenskyy pada Isnin menerusi hantaran di X selepas mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.
Zelenskyy kini berada di Jeddah menjelang pertemuan antara pegawai AS dan Ukraine yang bertujuan mencari jalan menamatkan perang Rusia-Ukraine.
"Pendirian Ukraine dalam rundingan ini akan sepenuhnya konstruktif," katanya, sambil berharap agar pertemuan itu menghasilkan keputusan yang praktikal.
Beliau turut menyifatkan pertemuannya dengan Putera Mahkota sebagai "baik" dan menjelaskan bahawa mereka membincangkan semua isu utama, termasuk hubungan hubungan dua hala serta kerjasama dengan rakan antarabangsa lain.
"Bersama Putera Mahkota, kami mengadakan perbincangan terperinci mengenai langkah-langkah serta syarat yang diperlukan untuk menamatkan perang dan memastikan keamanan yang kukuh serta berkekalan.
"Saya secara khusus menekankan isu pembebasan tahanan dan kepulangan anak-anak kami, yang boleh menjadi langkah utama dalam membina kepercayaan terhadap usaha diplomatik," katanya.
Di samping itu, Zelenskyy berkata Kyiv menghargai kesediaan Arab Saudi untuk memperluaskan kerjasama ekonomi serta melabur di Ukraine.
AS, di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump menyeru agar peperangan di Ukraine dihentikan dan mengadakan rundingan secara langsung dengan Rusia.
Selain itu, pentadbiran Trump juga menghentikan bantuan ketenteraan serta perkongsian maklumat risikan dengan Kyiv, selepas pertemuan tegang dengan Zelenskyy di Rumah Putih baru-baru ini.
Arab Saudi sebelum ini turut menjadi tuan rumah bagi rundingan antara Moscow dan Washington pada bulan lalu.
-- BERNAMA
