"Walaupun kami masih menilai kesan keputusan pentadbiran baharu AS, termasuk kemungkinan pengecualian, kami sedang melaksanakan beberapa langkah berjaga-jaga sementara bagi mengurangkan kesan ketidakpastian pembiayaan ini," kata jurucakap UNHCR pada Rabu.
Akhbar Britain The Guardian sebelum ini melaporkan, Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Filippo Grandi telah mengeluarkan arahan menerusi e-mel agar pengambilan pekerja baharu dan perjalanan antarabangsa dihentikan buat sementara waktu.
Beliau juga menggantung pesanan bekalan baharu, kecuali bagi keperluan bantuan kecemasan, menurut laporan akhbar itu.
Bagaimanapun, UNHCR enggan mengulas mengenai e-mel berkenaan.
Amerika Syarikat menyumbang kira-kira satu perlima daripada bajet UNHCR, yang mempunyai sekitar 20,000 kakitangan dan membantu lebih 120 juta pelarian di seluruh dunia.
Pada 2024, AS telah membayar lebih AS$2 bilion kepada UNHCR.
Jabatan Negara AS mengumumkan pembekuan sementara bantuan luar pada Ahad, namun terdapat kekeliruan di Washington dan peringkat antarabangsa mengenai program yang terjejas akibat langkah itu.
- BERNAMA