WASHINGTON: Sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di luar Pejabat Pengurusan Personel (OPM), di sini, pada Selasa, menuntut penasihat Presiden Amerika Syarikat (AS), Elon Musk dan rakan-rakannya di Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) diusir dari premis tersebut.

Dalam aksi tunjuk perasaan sebagai soladariti terhadap puluhan bekas kakitangan Persekutuan yang dipecat, mereka melaungkan kata-kata “usir Elon.”

Perhimpunan itu diketuai oleh Persekutuan Pekerja Kerajaan Amerika (AFGE), kesatuan pekerja kerajaan terbesar di AS yang mewakili lebih 800,000 orang.

Menurut Shernice Mundell, seorang pakar insurans kesihatan di jabatan itu, pemecatannya berlaku pada 13 Februari lalu melalui e-mel yang mengandungi pautan ke panggilan video.

Menurutnya, panggilan itu bukan secara langsung tetapi rakaman yang hanya mengarahkan beliau untuk menyelesaikan urusan peribadinya sebelum jam 3 petang hari yang sama.

Karen Fenner yang bekerja di Pejabat Operasi Perolehan OPM pula berkata, dia pertama kali diberitahu oleh pengarah bahagiannya mengenai notis pengurangan tenaga kerja pada 21 Februari, kira-kira 15 minit sebelum dia dan rakan sekerjanya menerima e-mel yang memaklumkan bahawa mereka diletakkan dalam cuti pentadbiran.

"Ia sangat mengerikan. Seperti jantung kami terhenti seketika... saya telah melalui setiap peringkat emosi," katanya.

Sekurang-kurangnya tiga ahli Kongres turut menghadiri perhimpunan itu, termasuk Senator Demokrat Maryland, Chris Van Hollen serta wakil Maryland, Jamie Raskin dan wakil Virginia, Don Beyer.

Van Hollen berkata kepada CNN, "Kami mahu menutup operasi haram yang dijalankan oleh Elon Musk ini."

Ditanya tentang kebimbangannya dalam beberapa minggu dan bulan akan datang, beliau menjawab:
"Terdapat kenyataan daripada pihak di White House yang mengatakan mereka mungkin akan mengabaikan perintah mahkamah. Itu akan menjadi satu lagi pelanggaran besar terhadap sistem semak dan imbang serta kerangka Perlembagaan kita."

Menjelang penghujung ucapan, Beyer menyeru orang ramai agar terus berjuang.

Disambut dengan tepukan gemuruh, beliau menambah, "Dan apabila kita berjaya, kita akan menghantar Elon kembali ke Afrika Selatan." - Agensi