SEOUL: Kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson tiba di pangkalan tentera laut utama di bandar tenggara Busan pada Ahad, menurut Tentera Laut Korea Selatan, sekali gus menegaskan komitmen Amerika Syarikat (AS) terhadap jaminan keselamatan diperluaskan berikutan ancaman berterusan dari Korea Utara.

Kapal berkuasa nuklear itu, sebahagian daripada "Carrier Strike Group 1", memasuki pangkalan tentera laut di Busan, kira-kira 320 kilometer ke tenggara Seoul, menandakan lawatan pertama kapal pengangkut pesawat AS ke Korea Selatan sejak Donald Trump kembali ke White House pada Januari.

Menurut Tentera Laut Korea Selatan, USS Carl Vinson diiringi kapal penjelajah peluru berpandu USS Princeton dan kapal pemusnah berkeupayaan Aegis, USS Sterett.

Tentera Laut menyifatkan lawatan itu sebagai sebahagian daripada usaha melaksanakan komitmen AS terhadap jaminan keselamatan diperluaskan yang baru-baru ini ditegaskan semula oleh Washington serta memperkukuh postur pertahanan bersama Korea Selatan-AS dalam menghadapi ancaman Korea Utara yang berterusan.

Sepanjang lawatan itu, kedua-dua sekutu akan berusaha meningkatkan keupayaan operasi bersama dan mengadakan kerjasama antara pasukan tentera laut mereka, menurut kenyataan itu.

"Angkatan tentera kami akan bertindak balas secara tegas terhadap sebarang ancaman Korea Utara, dan pakatan Korea Selatan-AS akan terus menyokong keamanan serta kestabilan di Semenanjung Korea dan rantau ini melalui kerjasama erat," kata Laksamana Muda Lee Nam-gyu, Pengarah Pusat Operasi Maritim Armada Korea Selatan.

Panglima "US Forces Korea" (USFK), Jeneral Xavier Brunson yang juga mengetuai "United Nations Command dan Combined Forces Command", menekankan kepentingan operasi seperti ini dalam mengekalkan keselamatan serantau.

"Operasi kumpulan serangan USS Carl Vinson membuktikan komitmen kami untuk memperkukuh pertahanan sekutu dan rakan serta memastikan keupayaan untuk 'bertindak balas segera dan menang'," kata Brunson.

"Lawatan ini, terutamanya dengan latihan bersama yang realistik merangkumi semua domain, meningkatkan keupayaan operasi bersama serta memastikan tahap kesiapsiagaan yang diperlukan bagi menghalang sebarang tindakan agresif dan mengekalkan kestabilan di Republik Korea serta rantau ini," katanya.

USS Carl Vinson kali terakhir mengunjungi Korea Selatan pada November 2023.

Lawatan terbaharu ini dibuat kira-kira lapan bulan selepas kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt berlabuh di Busan bagi menyertai latihan pelbagai dimensi Freedom Edge yang pertama antara Korea Selatan, AS dan Jepun pada Jun tahun lepas. - BERNAMA