VIETNAM: Vietnam sedang merancang untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua bagi semua pelajar menjelang tahun 2035, iaitu sebahagian daripada usaha memperkukuh daya saing tenaga kerja negara di peringkat global.

Menurut laporan Vietnamnet, pelan yang dirangka oleh Kementerian Pendidikan dan Latihan Vietnam itu akan diperkenalkan secara berperingkat bermula dengan pengajaran bahasa Inggeris di peringkat tadika sehingga ke institusi pendidikan tinggi dan latihan vokasional.

Timbalan Menteri Pendidikan dan Latihan Vietnam, Pham Ngoc Thuong berkata, pelaksanaan strategi ini bertujuan memastikan setiap rakyat Vietnam mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris yang mencukupi untuk keperluan akademik dan profesional.

"Kami percaya bahawa penguasaan bahasa Inggeris adalah kunci untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memacu pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, kami akan memastikan pembangunan kurikulum yang holistik serta latihan guru yang berkualiti untuk mencapai sasaran ini," katanya.

Menjelang 2035, semua tadika yang memenuhi syarat akan memperkenalkan bahasa Inggeris dalam kurikulum mereka dengan sasaran 100 peratus kanak-kanak berumur tiga hingga lima tahun mengikuti program ini.

Selain itu, pelajar sekolah rendah dan menengah akan didedahkan kepada kurikulum bahasa Inggeris yang lebih komprehensif, dengan penekanan kepada tahap kefasihan yang lebih tinggi menjelang 2045.

Naib Rektor Universiti Pendidikan Kebangsaan Hanoi, Prof. Madya Nguyen Van Trao, turut menyokong inisiatif ini dan menekankan kepentingan pembangunan tenaga pengajar yang mencukupi untuk menjayakan pelan tersebut.

"Keupayaan guru untuk mengajar dalam bahasa Inggeris secara efektif adalah faktor utama dalam kejayaan strategi ini.

"Kami sedang bekerjasama dengan universiti dan institusi antarabangsa untuk memastikan latihan yang komprehensif bagi pendidik di seluruh negara," jelasnya.

Vietnam juga merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam teknologi pendidikan, termasuk penggunaan platform pembelajaran digital dan alat bantu mengajar moden, bagi memastikan pelajar di kawasan terpencil tidak ketinggalan.

Kerajaan Vietnam optimis bahawa pelaksanaan strategi ini bukan sahaja akan memperkukuh daya saing negara di peringkat antarabangsa tetapi juga memperluaskan peluang bagi rakyatnya dalam sektor pekerjaan dan pendidikan global.