UTSUNOMIYA (Jepun): Seorang wanita berusia 108 tahun dari timur Jepun secara rasmi diiktiraf pada Rabu oleh Guinness World Records sebagai tukang gunting rambut wanita tertua di dunia, lapor Agensi Berita Kyodo.

Shitsui Hakoishi dari Nakagawa, Wilayah Tochigi, menerima sijil pengiktirafan di sebuah premis tempatan ketika jiran dan pelanggan tetap meraikan pencapaiannya.

"Hidup penuh dengan kesusahan sejak saya muda, tetapi saya benar-benar gembira," katanya.

Hakoishi, yang memulakan latihan di kedai gunting rambut di Tokyo pada usia 14 tahun, memperoleh lesen gunting rambutnya pada 1936.

Dia membuka kedai dengan suaminya, yang juga tukang gunting rambut, tetapi berpindah ke kampung halamannya selepas ia musnah akibat serangan udara, menurut Guinness World Records. Selepas suaminya meninggal dunia dalam perang, dia membuka sebuah kedai kecil di rumahnya sambil membesarkan dua anak kecil mereka.

Pada Mac 2021, dia mengambil bahagian sebagai pembawa obor dalam larian obor Olimpik Tokyo. Walaupun sakit lutut bermakna dia tidak lagi dapat menerima pelanggan seramai dahulu, dia masih menunjukkan kemahiran memotong rambutnya setiap kali menerima tempahan.

"Sesetengah orang datang dari jauh untuk berjumpa saya, jadi saya mahu teruskan selagi saya boleh," kata Hakoishi.

-- BERNAMA