Bercakap pada Persidangan Dialog Intra-Islam yang diadakan, di sini, pada Khamis, Naib Presiden Majlis Tertinggi Wanita Bahrain (SCW), Dr Shaikha Maryam binti Hassan Al Khalifa menekankan, peranan utama wanita dalam memupuk dialog intra-Islam dan memperkukuh keharmonian masyarakat.
"Sebagai separuh daripada masyarakat, wanita memainkan peranan penting dalam memupuk budaya persefahaman sejak usia muda," katanya.
Berdasarkan itu, beliau turut menekankan kepentingan menerapkan nilai toleransi dan keterbukaan, selain melengkapkan generasi muda dengan kemahiran dialog yang diperlukan bagi menangani perbezaan secara konstruktif.
Beliau seterusnya menyeru agar lebih menghormati kepelbagaian agama dan mazhab walaupun di tengah-tengah sudut pandangan yang berbeza, sambil menonjolkan nilai bersama yang menyatukan umat Islam serta mengukuhkan masa depan kolektif negara Islam.
Sependapat dengan pandangan Al Khalifa, Dr. Aisha Yousif Al Mannai, Pengarah Muhammad bin Hamad Al Thani Centre for Muslim Contribution to Civilisation di Kolej Pengajian Islam, Universiti Hamad Bin Khalifa menggariskan keperluan bagi lelaki dan wanita untuk turut terlibat secara aktif dalam dialog intra-Islam yang bermakna
"Wanita memainkan peranan penting dalam memupuk budaya dialog sejak usia muda dengan menggalakkan penghormatan terhadap perbezaan serta menerapkan nilai toleransi dan kesederhanaan," katanya.
Al Mannai turut merujuk kepada Deklarasi Al Azhar, yang menekankan bahawa kemajuan masyarakat bergantung kepada penyertaan sama rata antara lelaki dan wanita dalam membina serta memajukan masyarakat
Beliau seterusnya menekankan bahawa kedua-dua jantina memainkan peranan penting dalam menegakkan nilai sosial, budaya dan agama, sekali gus menyumbang kepada pembangunan kolektif dunia Islam.
Sebagai sebahagian daripada perbincangan mengenai daya tahan wanita dalam masyarakat Islam, Al Mannai turut menekankan keteguhan wanita Palestin dalam menghadapi krisis dengan menyatakan peranan mereka dalam memelihara identiti serta memperkukuh nilai Islam.
Beliau menegaskan ketabahan mereka sebagai faktor utama dalam mengekalkan warisan budaya dan mengukuhkan struktur komuniti Islam.
Sementara itu, seorang felo di Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat, Dr Safinaz Suleiman, menjelaskan tentang cabaran yang dihadapi masyarakat Islam di Barat dan peranan institusi Islam dalam menangani keperluan mereka.
Beliau menekankan bahawa umat Islam di Eropah dan Amerika Syarikat kekal sebagai sebahagian daripada komuniti Islam global, menyumbang kepada kekuatan tamadunnya.
Bagi mengukuhkan lagi hubungan ini, Suleiman menyeru agar penglibatan lebih luas dengan dunia Islam menerusi program pertukaran budaya, kerjasama akademik serta inisiatif yang melengkapkan pemimpin agama dengan alat yang diperlukan bagi mempromosikan pemahaman yang betul tentang Islam.
Persidangan Dialog Intra-Islam, yang dianjurkan bersama oleh Al Azhar Al Sharif, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam (SCIA) Bahrain dan Majlis Hukama' al-Muslimin, menghimpunkan lebih 400 ulama Islam, pemimpin agama, cendekiawan dan pakar dari seluruh dunia Islam.
Persidangan dua hari itu, yang diadakan di bawah tema "One Nation, One Shared Destiny", bertujuan untuk memupuk perpaduan dan memperkukuh dialog intra-Islam.
-- BERNAMA
