SEORANG wanita menjadi wira tidak diduga apabila menyelamatkan kanak-kanak yang hampir lemas di kolam renang di sebuah hotel.

Dalam keadaan masih memakai pelitup muka, tindakannya yang pantas dan berani menjadikannya sensasi di media sosial dengan gelaran 'Mask Qipao Superwoman'.

Kanak-kanak tersebut yang bermain sendirian dengan pelampung, tiba-tiba terjatuh di dalam kolam renang tertutup hotel.

Tiada staf hotel yang bertugas di lokasi ketika kejadian berlaku.

Wanita dari Wilayah Sichuan, Peng Lingmin yang kebetulan berada di tepi kolam bertindak pantas menyelamatkan kanak-kanak itu dan memberikan bantuan pernafasan (CPR).

Rakannya yang turut berada di situ merakam kejadian dan menghubungi ambulans.

Lima minit kemudian, kanak-kanak itu mula menunjukkan tanda-tanda positif dan kini sedang menjalani pemulihan di hospital.

Menariknya, Peng mengakui tidak pernah menerima latihan CPR secara rasmi namun sebagai seorang ibu, dia sering mengikuti panduan kecemasan di media sosial.

Beliau berkata, otaknya kosong ketika itu dan hanya bertindak mengikut naluri.

"Tangan saya mula menggigil hanya selepas mendengar dia menangis,” ujarnya.

Tindakannya itu mendapat pujian ramai di media sosial, dengan pengguna internet menggelarnya sebagai 'Mask Qipao Superwoman'.

Sebagai penghargaan, Peng menerima ganjaran 5,000 yuan (RM3,300) serta sijil digital daripada Alibaba Foundation. - Sinar Harian