MUSCAT: Mayat yang dijumpai di sebuah gunung di sini pada Sabtu lalu adalah milik seorang wanita Thailand yang hilang lebih tiga bulan lalu.

Bangkok Post melaporkan, mangsa dikenali Athitiya 'Mind' Wilachan, 29 tahun, disahkan maut akibat dibunuh dengan identitinya disahkan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita Thailand yang merupakan isteri kepada seorang pegawai polis Oman.

Wanita yang menggunakan nama Khadeeja MadamOman Alhashmi itu menerusi sebuah hantaran di Facebook berkata, setelah mengetahui tentang kehilangan Athitiya, dia meminta suaminya untuk membantu menyiasat kes tersebut dan berkoordinasi dengan pihak polis tempatan.

"Siasatan pihak polis membawa kepada penemuan mayat Athitiya di sebuah gunung berhampiran Salahla, bandar terbesar di Oman.

"Pencarian terhadap Athitiya, yang berasal dari daerah Mae Mo di Lampang dan berpindah ke Oman pada tahun 2020, dimulakan setelah rakan-rakannya melaporkan bahawa mereka tidak dapat menghubunginya selama tiga bulan," tulis Khadeeja.

Sebelum itu, ibu bapa dan rakan-rakan Athitiya telah membuat laporan di Yayasan Pavena untuk Kanak-Kanak dan Wanita minggu lalu bagi meminta bantuan pihak berkuasa untuk mengesan dan membawa mangsa pulang ke Thailand.

Menurut mereka, Athitiya bekerja di sebuah restoran di Oman pada tahun 2020 dan tidak lama kemudian berpindah bersama teman lelakinya, seorang warga Bangladesh.

Athitiya sering berkomunikasi dengan rakan-rakannya melalui saluran dalam talian dan memuat naik gambar di media sosial.

Namun, dia tidak pernah mendedahkan wajah teman lelakinya.

Pada Oktober lalu, Athitiya memuat naik gambar dirinya di katil hospital, memberitahu rakan-rakannya bahawa teman lelakinya telah menyerangnya secara fizikal.

Seorang rakan memberitahu kali terakhir melihat Athitiya di apartmennya pada November. Mangsa kelihatan lebam di seluruh badan dan sukar bercakap.

Selepas itu, tiada siapa yang dapat menghubungi atau melihatnya.

Rakan-rakan Athitiya membawa isu ini ke media sosial sebelum keluarganya membuat laporan orang hilang kepada Yayasan Pavena.

Penemuan terkini menunjukkan bahawa teman lelaki Athitiya terlibat dalam perdagangan dadah dan telah ditangkap dua minggu lalu.- Sinar Harian memetik agensi