“Zaman Keemasan Amerika kini bermula,” kata Trump dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden AS ke-47, pada Isnin.
Pada permulaan ucapannya, Trump mengucapkan terima kasih kepada beberapa bekas Presiden yang hadir, termasuk Presiden Joe Biden yang juga penyandang jawatan itu sebelum beliau.
“Bermula dari hari ini, negara kita akan berkembang maju dan dihormati semula di seluruh dunia. Kita akan menjadi idaman setiap negara, dan kita tidak akan membiarkan diri kita dipermainkan lagi,” kata Trump.
Namun, selepas kenyataan awal itu, Trump segera beralih kepada nada yang lebih kritikal dengan menyasarkan persaingan politik yang lalu, sambil bekas Presiden Joe Biden memerhati.
Ketika Biden duduk tidak jauh daripadanya, Trump berkata, kerajaan yang baru diwarisinya itu “tidak dapat menguruskan walau satu krisis mudah di dalam negara, sementara pada masa sama tergelincir ke dalam rangkaian kejadian malapetaka yang berterusan di luar negara.”
Dalam masa sama, beliau juga mengecam “penjenayah berbahaya” yang masuk ke AS secara haram serta kekurangan kawalan keselamatan sempadan.
Merujuk kepada bencana alam yang teruk di kawasan Tenggara dan Barat Amerika Syarikat, Trump memberi amaran AS “tidak lagi mampu memberikan perkhidmatan asas pada waktu kecemasan,” dengan mendakwa tanpa bukti bahawa kebakaran hutan di Los Angeles berlaku “tanpa sebarang usaha pertahanan sekalipun.”
Trump turut mengkritik sistem kesihatan awam Amerika Syarikat dan mendakwa negara itu mempunyai “sistem pendidikan yang mengajar anak-anak kita untuk malu terhadap diri mereka sendiri dan dalam banyak kes, untuk membenci negara kita.”
Kepulangan ke White House bagi penggal kedua, Trump turut memberitahu, kali ini, beliau kembali sebagai Presiden AS ke-47 dengan "penuh keyakinan dan optimis" bahawa kita berada di permulaan era baharu yang mengujakan bagi kejayaan negara.”
Katanya: “Arus perubahan sedang melanda negara ini.”
“Cahaya matahari menyinari seluruh dunia, dan Amerika mempunyai peluang untuk merebut peluang ini seperti tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Trump lagi. - Agensi