Zelenskiy alukan peluang untuk keamanan adil dalam ucapan tahniah kepada Trump
Presiden Trump sentiasa tegas dan dasar keamanan melalui kekuatan yang diumumkannya memberikan peluang untuk mengukuhkan kepimpinan Amerika, kata Zelenskiy.
Bernama
Tue Jan 21 2025
Ukraine menganggap usaha menjalin hubungan erat dengan pentadbiran Trump yang baharu sebagai matlamat utama, kata Zelenskiy. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy pada Isnin mengalu-alukan peluang untuk mencapai keamanan yang adil di Ukraine setelah berdepan pencerobohan Rusia hampir tiga tahun, sambil mengucapkan tahniah kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump atas pelantikannya.
Trump telah berulang kali menyeru gencatan senjata dan berjanji untuk segera menamatkan perang, walaupun tanpa memberikan butiran lanjut tentang bagaimana ia akan dilaksanakan.
"Presiden Trump sentiasa tegas, dan dasar keamanan melalui kekuatan yang diumumkannya memberikan peluang untuk mengukuhkan kepimpinan Amerika serta mencapai keamanan jangka panjang dan adil, yang merupakan keutamaan utama," kata Zelenskiy dalam catatan di platform X.
Ukraine menganggap usaha menjalin hubungan erat dengan pentadbiran Trump yang baharu sebagai matlamat utama dan telah mengambil langkah untuk mendekati Republikan itu selepas kemenangannya dalam pilihan raya Presiden AS pada November lepas. - REUTERS