SEBELUM ini, Presiden Rusia, Vladimir Putin dilaporkan bersedia untuk berbincang mengenai perang di Ukraine dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Kali ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pula berkongsi pandangan mengenai kemungkinan rundingan damai.

Dalam satu wawancara dengan Bloomberg, Zelensky berkata, rundingan sebegitu "boleh menjadi adil atau tidak adil. Dan banyak bergantung kepada bagaimana kita melihat keadilan - sama ada dengan cara yang sama atau berbeza."

"Ia juga bergantung kepada pendirian bersama Amerika dan Eropah, serta pada negara-negara Selatan Global [negara Asia, Afrika dan Amerika Selatan] dalam sesetengah aspek," tambahnya.

"Soalnya ialah sama ada Ukraine akan, seperti dahulu dalam Format Normandy, bersendirian sementara yang lain bertindak secara berasingan. Atau kali ini Ukraine bersama sekutu dan Rusia bersendirian. Itulah yang disebut sebagai rundingan yang adil."

Rundingan dalam Format Normandy - yang melibatkan Ukraine, Rusia, Perancis, dan Jerman - gagal menghentikan peperangan di wilayah Donbas, timur Ukraine, yang dimulakan oleh pejuang disokong Rusia pada 2014.

Kremlin kemudian melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada Februari 2022. - Agensi