KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Sabtu memperbaharui gesaan untuk sekatan yang lebih tegas terhadap Rusia, menekankan keperluan untuk melindungi nyawa dan meningkatkan pertahanan udara sebagai tindak balas kepada serangan berterusan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Berikutan serangan udara Rusia ke atas sebuah bandar perlombongan di timur Ukraine yang dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 11 orang lewat Jumaat, Zelensky menulis di Facebook: "Serangan sedemikian menunjukkan bahawa matlamat Rusia tidak berubah.

"Itulah sebabnya adalah penting untuk kita terus melakukan yang terbaik untuk melindungi nyawa, mengukuhkan pertahanan udara kita dan mengetatkan sekatan terhadap Rusia."

Berikutan penggantungan bantuan ketenteraan AS ke Ukraine baru-baru ini, pakar mencadangkan bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin memanfaatkan peluang untuk mempercepatkan objektif perangnya.

Matlamat utama adalah untuk mendapatkan kawalan penuh ke atas wilayah yang dipertikaikan iaitu Donetsk, Luhansk, Kherson dan Zaporizhzhia, yang sebahagiannya masih diduduki oleh tentera Rusia.

-- BERNAMA