WASHINGTON: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu - perbualan yang berlaku selepas Trump bercakap dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Dalam kenyataan di Truth Social sebelum ini, Trump menyatakan, beliau akan memaklumkan Zelenskyy mengenai perbualannya dengan pemimpin Rusia itu.

Trump berkata panggilan dengan Zelenskyy “berjalan dengan sangat baik,” menurut hantaran yang dimuat naik ke media sosial Presiden AS itu.

"Beliau (Zelenskyy), seperti Presiden Putin, mahu mencapai KEAMANAN. Kami membincangkan pelbagai perkara berkaitan perang, tetapi yang paling penting adalah pertemuan yang sedang diatur pada hari Jumaat di Munich, di mana Naib Presiden AS, JD Vance dan Setiausaha Negara, Marco Rubio akan mengetuai delegasi," kata Trump dalam hantaran itu lagi.

Jurucakap Presiden Ukraine, Sergii Nykyforov mengesahkan panggilan antara Zelenskyy dan Trump berlangsung sekitar satu jam.

Dalam kenyataan di media sosial, Zelenskyy berkata, beliau berpeluang mendapat "perbualan yang bermakna" dengan Trump dan sedang bekerjasama dengan Presiden AS itu untuk mencapai "keamanan yang berkekalan dan boleh dipercayai" selepas hampir tiga tahun pencerobohan penuh oleh Rusia.

Beliau juga mengesahkan, mereka membincangkan panggilan Trump dengan Putin.

"Kami berbincang panjang mengenai peluang untuk mencapai keamanan, menyatakan kesediaan untuk bekerjasama di peringkat pasukan serta keupayaan teknologi Ukraine -termasuk dron dan industri canggih lain," kata Zelenskyy.

Terdahulu Trump menerima panggilan daripada Putin dan kedua-dua pemimpin itu membincangkan pelbagai topik termasuk perang Rusia di Ukraine.

Pegawai pentadbiran Trump berharap perbincangan itu boleh menjadi langkah awal ke arah usaha baharu untuk menamatkan konflik yang hampir memasuki tahun keempat.

Selama beberapa minggu, Trump telah menunjukkan keinginannya untuk bercakap dengan Putin dalam usaha mencari penyelesaian bagi konflik Ukraine.  - Agensi