IPOH: Selepas 13 tahun, rancangan realiti tarian Aattam anjuran Indian Customer Business, Astro, kembali menggegarkan pentas Stadium Indera Mulia, di sini, Sabtu lalu.

Daripada 22 kumpulan yang menyertai pusingan awal, hanya enam kumpulan terbaik berjaya mara ke peringkat akhir untuk mempertaruhkan kehebatan masing-masing.

Pertandingan kali ini membawa kelainan apabila buat pertama kalinya diadakan di luar ibu negara, membawa 'fenomena' baharu dan semangat segar kepada peserta mahupun penonton.

Naib Presiden Indian Customer Business, Astro, Prem Anand Rajahram berkata, tujuan penganjuran pertandingan itu adalah untuk mencungkil dan mengangkat bakat-bakat tempatan agar mereka berpeluang menyerlah di pentas yang lebih berprestij.

"Melalui platform seperti ini, kami juga ingin memastikan bakat-bakat luar biasa ini, tidak hanya dikenali di peringkat tempatan, tetapi juga mampu menembusi pasaran yang lebih luas.

"Dengan sambutan yang luar biasa ini, saya yakin program ini berjaya mencapai matlamat tersebut dengan memberikan ruang kepada peserta untuk menunjukkan keunikan dan kehebatan seni mereka," katanya di sini, baru-baru ini.

Selain dihadiri lebih 2,000 penonton di stadium itu, program realiti itu turut disiarkan secara langsung di saluran Vinmeen.




Gandingan duo dinamik Magendran Raman dan Denes Kumar sebagai pengacara bagi rancangan realiti itu, menandakan kemunculan semula mereka selepas kali terakhir berganding mengacarakan Aattam 100 Vagai dari tahun 2005 hingga 2011.

Kemunculan semula pasangan itu pastinya memberikan sentuhan nostalgia bukan sahaja kepada program itu malah penonton. 

Bagi peminat setia Aattam 100 Vagai, nama Babloo pastinya mengimbau kenangan manis. Karakter unik dan menghiburkan itu sentiasa mencuri perhatian dengan jenaka lucu serta perbualan penuh sindiran yang mencuit hati.

Sejak kemunculan pertamanya di pentas Aattam 100 Vagai, Babloo menjadi watak yang sering muncul di sebalik tirai, menambah elemen kejutan dan humor sepanjang 13 episod termasuk pada pusingan terakhir kali ini.


Netizen pertikai keputusan pusingan akhir? 

Daripada enam kumpulan yang berentap di pentas akhir, hanya empat kumpulan mara ke pusingan seterusnya dan diberi cabaran tambahan untuk mempersembahkan kareografi berdasarkan lagu yang dipilih secara rawak dengan masa persiaran 15 minit.

Selepas pusingan itu, hanya dua kumpulan yang memperolehi markah tertinggi akan bertanding di pusingan battle bagi menentukan juara keseluruhan.

Akhirnya, Hyperflex membuktikan kehebatan mereka apabila dinobatkan sebagai juara dengan mengalahkan KLDM Boys serta membawa pulang wang tunai RM50,000.

Sementara KLDM Boys membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM25,000 sebagai naib juara manakala kategori Kumpulan Paling Popular dimenangi V-Haara dengan hadiah RM5,000. Mereka mendapat undian 265,631.

Dalam pada itu, Millennium Arts, Sri Agni Group, Tirav dan V-Haara masing-masing berjaya mendapat RM2,000 sebagai hadiah sagu hati.






Namun keputusan tersebut mencetuskan kontroversi apabila rata-rata netizen menyifatkan keputusan itu sebagai tidak adil selain mendakwa kumpulan yang tewas mempamerkan persembahan yang lebih cemerlang.

Menjawab kritikan tersebut, salah seorang daripada lima juri, Aruna Raj Devarajoo menjelaskan, penilaian dilakukan berdasarkan mekanisme tertentu.

"Markah pada pusingan pertama tidak dikira secara kumulatif untuk pusingan seterusnya.

"Sebaliknya, penilaian sepenuhnya dibuat berdasarkan persembahan dalam pusingan tersebut sahaja. Orang ramai mungkin keliru dengan kaedah pengiraan markah ini," katanya.

Oleh itu, katanya, tidak wujud istilah pilih kasih atau sebaliknya. 

Semua pengiraan markah kata Aruna, dilakukan secara profesional, dengan purata diambil daripada penilaian lima juri.

Selain dua juri jemputan, juri-juri tetap adalah MJ Nada, seorang penari, koreografer, dan pelakon tempatan yang tersohor; Aruna, seorang pengacara popular, penari klasik dan bekas pengacara rancangan Aattam 100 Vagai serta Rameshwara, seorang penari, koreografer, pelakon, dan pengarah dari Singapura yang juga merupakan pemenang Aattam 100 Vagai musim ketiga.