PELAKON Bront Palarae telah dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Seni Sinematik (FCA), Universiti Multimedia Malaysia (MMU).


Ringkasan AI
  • Bront Palarae dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Seni Sinematik, Universiti Multimedia Malaysia (MMU).
  • Pelantikan ini sebagai penghargaan terhadap kepakaran dan pengalaman beliau dalam industri hiburan selama lebih dua dekad.
  • Selain Bront, dua penggiat seni animasi, Nizam Razak dan Usamah Zaid Yassin, turut dilantik sebagai Profesor Adjung di fakulti yang sama.


Pelantikan itu diumumkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi MMU sebagai tanda penghargaan terhadap kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang seni. 

 


“Bront Palarae ialah seorang penggiat profesional dalam industri hiburan Malaysia dengan berpengalaman selama lebih dua dekad di bidang lakonan, penerbitan dan seni kreatif.

“Beliau sudah membintangi lebih 70 filem merentasi tujuh negara, termasuk memfokuskan karier seninya di tanah air, Indonesia serta Thailand.

“Seorang tokoh terkemuka dalam industri filem, Bront sudah berkhidmat dalam Jawatankuasa Penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas),” kata kenyataan itu.

Sekadar info, Profesor Adjung adalah gelaran kehormat kepada profesional dan tokoh korporat kerana mempunyai kepakaran dan berpengalaman luas dalam sesuatu bidang. 

Selain Bront, dua penggiat seni terkenal dalam bidang animasi iaitu Nizam Razak dan Usamah Zaid Yassin turut dilantik MMU sebagai Profesor Adjung di fakulti sama.

Gelaran akademik diraih itu menyaksikan Bront sebaris dengan beberapa selebriti tanah air lain seperti Datuk Afdlin Shauki, Datuk Aznil Nawawi, Datuk Rizalman Ibrahim, Datuk Ras Adiba Radzi dan Datuk Cef Wan.

Sebelum ini, Afdlin pernah dilantik sebagai Profesor Adjung Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Manakala, Cef Wan pula menerima gelaran Profesor Adjung Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar (STHEM) juga di UUM pada 2017. -Gempak