PELAKON dan pengacara, Mira Filzah meluahkan rasa syukur apabila lakonan filem dari Indonesia iaitu Cinta Tak Pernah Kenal Waktu menerima maklum balas positif yang sangat baik. 


Ringkasan AI
  • Mira Filzah bersyukur dengan maklum balas positif terhadap filem Indonesia "Cinta Tak Pernah Kenal Waktu" dan berkongsi komen positif di Instagram Story.
  • Mira mengutamakan kerjaya di Malaysia kerana tanggungjawab terhadap keluarga, tetapi akan mempertimbangkan tawaran luar negara yang baik.
  • Mira berkongsi cabaran kembali aktif dalam industri selepas kehamilan dan bersalin, menekankan usaha dan tawakal dalam mencapai kejayaan.


Menurut Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, dia sangat tersentuh dengan sokongan yang diberikan sehingga berkongsi beberapa komen positif yang diterimanya di Instagram Story.

"Reaksi yang saya dapat sangat positif, Alhamdulillah. Banyak sangat feedback dan review yang baik, membuatkan saya benar-benar tersentuh hati. Sebab itu saya kongsikan di Instagram Story sebagai tanda penghargaan,” katanya kepada Gempak. 

Mira berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran Pop Up Store Raya RR di IOI City Mall, Putrajaya pada Sabtu petang. 


Utamakan Keluarga & Kerjaya Di Malaysia

Mengulas mengenai masa depannya dalam industri hiburan, pelakon yang terkenal dengan drama Curang Tanpa Niat itu mengakui dia masih mahu mengutamakan karier di Malaysia.

Katanya, faktor utama yang mempengaruhi keputusan Mira adalah tanggungjawabnya terhadap keluarga, termasuk suami dan anak kecil yang memerlukan perhatian. 

Namun, sekiranya ada tawaran yang benar-benar baik, dia akan mempertimbangkannya dan berbincang dengan suaminya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

"Sejujurnya, saya tidak merancang untuk melebarkan sayap ke luar negara buat masa ini. Saya masih utamakan industri di sini kerana saya ada keluarga, suami, dan anak kecil yang perlu dibesarkan. Kalau ada peluang yang sangat baik, saya akan berbincang dengan suami dahulu,” jelasnya.



Bangkit Semula Bukan Perkara Mudah

Dalam pada itu, aktres itu turut berkongsi perjalanan kariernya sebagai seorang pelakon wanita yang perlu berehat seketika kerana kehamilan dan bersalin. 

Menurutnya, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk kembali aktif dalam industri selepas melalui fasa tersebut.

Bagaimanapun, Mira juga menyatakan kejayaan yang diraih selepas berehat sekejap itu tidaklah datang bergolek tetapi memerlukan dirinya untuk berusaha dan mempunyai tawakal yang tinggi kepada tuhan. 

"Sebagai seorang pelakon wanita, ada satu fasa di mana kita perlu berehat untuk mengandung dan bersalin. Jadi, apabila kembali semula ke industri, ia bukan perkara yang mudah. 

“Lain orang, lain rezekinya, tapi saya bersyukur kerana perjalanan saya dipermudahkan dan peluang yang datang semuanya baik-baik belaka. Itu yang membuatkan saya rasa sebak, kerana ia adalah satu milestone untuk kerjaya saya.

"Berserah itu satu bentuk tawakal, tapi yang lebih utama, kita perlu usaha juga. Setiap kali mendapat peluang berlakon, saya akan lakukan yang terbaik. 

“Saya juga menghadiri kelas lakonan untuk meningkatkan kualiti lakonan saya. Itu adalah usaha saya untuk terus memperbaiki diri. Selebihnya, saya hanya tawakal kepada rezeki Allah,” kongsinya. 

Terdahulu, Mira Filzah memegang watak sebagai Dr Sarah dalam filem terbaharu arahan Hanung Bramantyo berjudul Cinta Tak Pernah Tepat Waktu. -Gempak