MELIHAT poster dan sekitar kisah Cromok dan Amuk yang bakal digabungkan dalam konsert April ini, terasa seperti kembali semula sekitar tahun 80-an dan 90-an di mana genre rock dan metal sama-sama berada di puncak zamannya.

Masakan tidak, rasanya baru sahaja kumpulan legenda trash metal tanah air, Cromok mengadakan persembahan yang memukau di Zepp KL dengan gabungan padu bersama Man Kidal.

Malah difahamkan, Cromok akhir-akhir ini agak kerap juga mengadakan konsert persembahan yang ternyata kekal mendapat sokongan daripada peminat setia mereka.

Mendengar sahaja Cromok akan bergandingan dengan Amuk, sudah pasti kita dapat membayangkan persembahan hebat yang mampu dijelmakan menerusi gabungan dua kumpulan daripada genre yang hampir sama ini.

Walaupun ini adalah kali pertama mereka akan berkongsi satu pentas namun kekuatan muzik bawaan mereka kita sudah maklum yang ia pastinya berbaloi untuk dihadiri.

Kalau diikutkan, sepanjang sejarah Cromok berkolaborasi dengan gandingan pilihan mereka di atas pentas, kita mungkin akan bersetuju bahawa setakat ini konsert gandingan Cromok yang paling berjaya adalah ketika mengadakan konsert 'Metal Legend' pada 2018 di MAEPS, ketika pertama kali kita menyaksikan semua peminat Cromok 'headbanging' bersama XPDC Kita Pengyu dalam satu pentas.

Boleh dikatakan itu adalah sejarah terhebat gandingan Cromok yang pernah berkolaborasi dengan kumpulan heavy metal yang lain dengan menyaksikan lebih 10,000 peminat mereka berkumpul bagi menyaksikan persembahan mereka.

Kali ini Cromok bakal berganding bahu dengan Amuk, kumpulan muzik dari aliran yang hampir sama dan tentunya memiliki kumpulan peminat dari kelompok yang tidak terlalu asing di tanah air kita.

Namun kita sudah lama sangat rasanya tidak melihat Bandi dan rakan-rakan beraksi dalam konsert pada skala yang besar seperti ini dan mungkin ini adalah peluang terbaik untuk peminat mereka berkumpul kembali untuk melepaskan kerinduan mereka.

Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk yang dianjurkan oleh YNS Event Management bakal berlangsung di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan pada 26 April depan, jam 9 malam.

Menurut vokalis Amuk, Bandi yang ditemui pada sidang media di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur beberapa hari lalu, tawaran untuk mengadakan konsert bersama kumpulan Cromok ini sebenarnya ibarat 'bulan jatuh ke riba' buat dirinya dan kumpulan Amuk.

"Peminat sudah bertanya sejak dahulu lagi. Jadi, saya rasa ini satu peluang baik. YNS Event Management mulanya menghubungi saya untuk buat Konsert Amuk di sini.

"Saya cadangkan mengapa tidak kita buat Konsert Cromok Vs Amuk. Mereka pun terus bersetuju sebab saya rasa memang sejak dahulu pun banyak peminat bertanyakan soal ini," jelas Bandi.

Ketika ini Amuk dan Cromok jelasnya sudah merancang pelbagai susunan lagu dan muzik yang dijangka memiliki kelainan dan keistimewaanya yang tersendiri khas untuk didendangkan untuk peminat mereka dalam konsert tersebut.

Untuk Amuk, saya mungkin akan ambil seorang lagi pemain gitar digelar Metal Bugis yang akan bergandingan Metal Jawa, Din Taring dan Budu Siam.

"Saya nak dapat satu bunyi yang agak ke depan. Bukan nak berlawan dengan Cromok. Kami nak hidangkan satu benda yang orang tak boleh lupa. Nak orang nampak gandingan kami adalah terbaik," jelasnya lagi.

Menurut Pengarah Eksekutif YNS Event Management, Mohd Agmeer Farouke berkata, konsert itu bakal melakar sejarah apabila buat kali pertama menggabungkan dua kumpulan rock ikonik itu.

Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk juga adalah persembahan pertama diadakan lokasi ini selepas menjalani penambahbaikan dan dinaik taraf. Ia bukan sahaja lokasi untuk acara sukan bahkan penganjuran konsert.

"Sebelum ini, ia dikenali sebagai Stadium Tertutup Nilai yang dibina khas sempena Sukan Malaysia (Sukma) Ke-10 pada 2004 dan kini dikenali sebagai N9 Arena, Nilai. Pelbagai acara akan diadakan termasuk konsert," katanya.

Dari segi kualiti yang bakal dipersembahkan rasanya peminat sudah sedia maklum apabila setiap kali membabitkan kumpulan Cromok kerana mereka ini amat teliti dan sangat menjaga kualiti bunyi yang bakal diperdengarkan kepada peminat mereka.

Justeru rasanya untuk menarik peminat dikalangan pengikut genre trash metal ini tidak begitu sukar dan lokasi yang dipilih kali ini juga agak strategik untuk membolehkan peminat mereka dari pelbagai pelusuk hadir menyaksikanya.

Jadi buat peminat Cromok dan Amuk, inilah peluang terbaik anda untuk melepaskan kerinduan hayunan gabungan muzik mereka dalam satu pentas yang tidak wajar rasanya anda lepaskan!