Terima kasih kita kepada wartawan-wartawan dan media-media hiburan di era berkenaan yang tidak pernah sepi daripada memberi laporan mengenai buat hati kesayangan Malaysia di zaman itu khususnya berita beliau dilamar sebagai isteri kepada keluarga terdekat diraja negara Brunei, Darussalam.
Penerbitan seperti majalah URTV, sisipan Pancaindera (Mingguan Malaysia), Berita Hiburan antara media yang sentiasa ke hadapan dalam melaporkan kisah pernikahan penyanyi yang memulakan kerjaya seninya dengan band Quinary M itu.
Menyoroti kisah silam itu tentu sekali mengingatkan kita bahawa Mazuin telah memahat rekod yang bukan calang-calang pada zaman itu.
Pernikahannya dengan Pengiran Muda Sufri Bolkiah yang juga adinda kepada Sultan Brunei menjadi tumpuan seluruh masyarakat di sekitar rantau ini.
Masakan tidak, kisah hidup Mazuin persis cerita fantasi dan cita-cita sebilangan besar gadis-gadis remaja yang mendambakan peluang dilamar anak raja dan bersemayam di istana.
Penyatuan dua hati dari dua negara itu disambut kesyukuran dan kegembiraan yang bukan sedikit.
Majlis pernikahan pasangan diraja itu mendapat liputan meluas dan menjadi bahan perbualan orang ramai.
Sebaik memilih menjalani kehidupan dalam keluarga diraja masyhur itu, Mazuin tidak lagi berpaling.
Gelanggang seni ditinggalkannya, kemasyhuran dan populariti yang diraih sebagai anak seni semakin jauh dari hidupnya. Tumpuannya hanya pada rumah tangga.
Sejak itu, cerita Mazuin tidak lagi dilaporkan di media, sehinggalah industri hiburan dikejutkan dengan berita perceraiannya pada 2003.
Biar tidak lagi menjadi isteri, Mazuin masih memilih menjalani hidup yang sederhana dan jauh daripada kemilau dunia hiburan.
Melihat tiga orang anaknya, Pengiran Anak Ajeerah Firdausul Bolkiah, Pengiran Anak Raafiah Amalul Bolkiah dan Pengiran Muda Abdul Khaaliq dewasa di hadapan matanya sudah cukup membahagiakan Mazuin.
Sudah lebih 30 tahun juga, tidak ada mana-mana agensi media atau wartawan yang pernah berpeluang mewawancara beliau.
Sehinggalah pada hujung minggu lalu semasa berlangsung pertandingan akhir Gegar Vaganza 2025 di Wisma MBSA, di sini, kelibat Mazuin kelihatan.
Menyedari kehadirannya, Astro AWANI mengatur masa untuk mewawancara beliau.
Kami sangat berbesar hati kerana permintaan mendekatinya ditunaikan.
Perbualan lebih banyak berkisar pada kehidupannya hari ini.
Sekalipun sudah lama tidak berhadapan dengan kamera media dan diwawancara oleh wartawan, Mazuin tidak kekok untuk menjawab soalan-soalan yang ditanya kepadanya.
“Alhamdulillah, saya masih ada… cuma jauh dari dunia hiburan,” kata Mazuin memulakan perbualan.
![Mazuin diwawancara oleh krew Astro AWANI.](https://img.astroawani.com/2025-02/41739328287_freesize.jpg)
Penyanyi yang pernah menempa kemasyhuran menerusi lagu Anggerik Merah, Janji Palsu, Aku Ingin Dekat Padamu mendedahkan, biarpun dunia nyanyian sudah lama ditinggalkan, namun, cintanya pada bidang itu tidak pernah pudar.
Bahkan, beliau memberitahu, sentiasa menyanyi pada pelbagai acara tertutup khususnya dalam majlis-majlis keramaian melibatkan keluarga.
Kata Mazuin, nyanyian sudah sebati dengan jiwanya.
Mengalih perhatian beliau pada kenangan lebih tiga dekad lalu, Mazuin mengakui, kerinduan pada zaman remajanya sibuk memenuhi undangan nyanyian, meluangkan masa dengan rakan-rakan artis seangkatan sering bertandang dalam diri.
Kerinduan yang sarat ditanggung itu, jelasnya, mencetus keinginannya untuk membuat kemunculan semula.
“Masih teringat (dunia nyanyian)… rindu kepada peminat-peminat. Itulah kadang-kadang rasa nak come back, nak menyanyi lagi…,” akui Mazuin.
Sama ada akan kembali merakamkan lagu, kata Mazuin, hal itu terlalu awal untuk dikongsi.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki,” ujarnya tanpa berkongsi lanjut.
Sering bertanya khabar sahabat seangkatan
Berjauhan dari dunia seni tidak pula menjarakkan Mazuin dengan rakan-rakan seangkatan sementelah hubungan akrabnya dengan penyanyi-penyanyi sezaman sentiasa dipelihara.
Azlina Aziz dan adiknya, Liza Aziz, Datuk Syed Sobrie dan isteri, Datin Azie, Datin Salwa Abdul Rahman, Noorshila Amin, Razis Ismail dan lain-lain antara sahabat yang sentiasa berhubung dan bertanya khabar sesama mereka.
![Mazuin bersama rakan-rakan seangkatannya sering bertanya khabar. - Gambar ihsan Facebook Syed Sobrie DSS](https://img.astroawani.com/2025-02/61739328358_freesize.jpg)
Ada masa, kata Mazuin, beliau dan rakan-rakan artis seangkatan akan bertemu untuk berkongsi kenangan dan bercerita mengenai kenangan di zaman kegemilangan.
Justeru, tidak hairan kenapa Mazuin meluangkan masa pada hujung minggu lalu turun ke Shah Alam untuk memberi sokongan kepada sahabatnya, Liza yang bertanding di Gegar Vaganza anjuran Astro.
“Sudah tentu saya datang hari ini utk beri sokongan kepada Liza,” ujar Mazuin yang nyata sangat gembira apabila sahabatnya itu meraih kemenangan pada malam kemuncak Gegar Vaganza tempoh hari.
![Syed Sobrie, Azlina Aziz dan Liza Aziz merupakan antara rakan artis yang akrab dengan Mazuin. - Gambar ihsan Facebook Syed Sobrie DSS](https://img.astroawani.com/2025-02/61739328352_freesize.jpg)
Dalam masa sama, Mazuin yang kini berusia 61 tahun, tidak terlepas berkongsi rasa sedih apabila menerima khabar kehilangan rakan-rakan seangkatan seperti sahabat karibnya, Allahyarham Datuk Nassier Wahab serta Allahyarham Rohana Jalil.
“Itulah... sedih ya. Kita kehilangan mereka yang baik-baik... menyanyi pun bagus, amat-amat remuk sekalilah. Sedih... sedih sangat,” luah Mazuin sambil memberitahu beliau ada berhubung dengan
Allahyarham Nassier sebaik mengetahui sahabatnya itu menghidap kanser.
Dan hari ini, sekalipun menetap di Brunei, Mazuin tidak terlepas daripada mengikuti perkembangan muzik semasa.
Kata Mazuin, beliau juga meminati bakat-bakat baharu seperti Aina Abdul, Ernie Zakri dan Nadeera Zaini yang disifatkannya sebagai penyanyi berbakat besar.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)