Katanya, konsep itu dipilih kerana sangat dekat di hatinya dan melambangkan semangat gotong-royong, perpaduan serta kebersamaan yang semakin pudar dalam masyarakat moden.
"Konsep ini menggambarkan bahawa perkara yang baik wajar dikongsi bersama. Apabila kita berkumpul untuk sesuatu yang positif, kita bukan sahaja memperoleh keberkatan daripada Allah, tetapi juga memperkukuh semangat kasih sayang antara satu sama lain," kata artis berusia 46 tahun itu dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata album yang mendapat kerjasama penerbit muda meningkat naik, Glowrush, itu bukan sekadar sebuah karya muzik tetapi juga satu peringatan agar masyarakat tidak melupakan akar budaya dan identiti sendiri dalam arus globalisasi.
"Inspirasi utama saya adalah untuk melihat betapa banyak jati diri kita yang semakin hilang. Saya mahu mengingatkan semua bahawa penting untuk kita memahami dan menghargai asal usul, budaya dan agama kita agar kita tidak kehilangan arah," katanya.
Pemenang Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-23 itu juga berkata beliau berusaha menyampaikan mesej melalui muzik yang kreatif dan kontemporari tanpa mengorbankan nilai tradisional menerusi gabungan elemen muzik tradisional dengan sentuhan moden agar relevan di hati peminat muda.
Album Jati Diri yang turut menampilkan Altimet dan Datuk M. Nasir sebagai penyanyi undangan boleh didengari di semua platform penstriman digital mulai 7 Feb 2025.
-- BERNAMA