Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 31, mendakwa, dia masih belum dapat menemui Humairah, 8, dan Umar, 4, dan kali terakhir mereka berjumpa adalah pada penghujung tahun 2023.
"Saya tak tahu keadaan anak saya macam mana sekarang, namun perkembangan terbaru saya dapat tahu mereka dibawa ibunya ke Australia tanpa keizinan saya.
"Kepada Umar dan Umairah, abah hendak bagi tahu yang abah sangat-sangat rindu pada Umar dan Umaira, abah harap kita dapat jumpa satu hari nanti insya-Allah," ujarnya ditemui pada Khamis.
Hafidz ditemui selepas sebutan kes interim hadanah hak penjagaan dan hak penjagaan penuh difailkannya kepada bekas isterinya, Shuhada dan ibu Shuhada, Wan Latipah Yusof di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam.
Terdahulu, Hafidz tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi dengan diiringi peguamnya, Puteri Ummi Kartini Abd Latif sementara Nurul Shuhada dan ibunya, tidak hadir ke perbicaraan tersebut.
Dalam pada itu, Hafidz berkata, nafkah bagi kedua dia anaknya itu akan dilaksanakan sepenuhnya kerana ia merupakan tuntutan dan sudah menjadi tanggungjawabnya.
Namun, beliau kesal apabila sesetengah pihak di media sosial mengecam dirinya termasuk mencadangkan agar kedua-dua anaknya itu tidak berbinkan namanya.
"Saya dengan tegas tujukan kepada mereka di luar sana yang menyatakan bahawa Umar dan Umairah tak perlu berbinkan pada saya, saya bagi amaran tolong hormati saya kerana saya tetap abah mereka.
"Kalau ikutkan sudah hampir setahun lebih tak jumpa mereka cuma saya nak bagi tahu saya sangat-sangat rindu pada anak-anak saya," tambahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, mahkamah menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh baharu untuk sebutan semula kes hadanah berkenaan.
Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Humairah, 8, dan Umar, 4. - Sinar Harian
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)