BANDAR SRI SENDAYAN: Hampir 2,000 pengunjung hadir memeriahkan Program Assalamualaikum RaRa 2025 anjuran Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) di Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • Program Assalamualaikum RaRa 2025 di Masjid Sri Sendayan dihadiri hampir 2,000 pengunjung, bertujuan mengimarahkan masjid dan mempromosikan kepelbagaian budaya sempena Ramadan dan Aidilfitri.
  • Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk temu bual bersama artis, pertandingan untuk kanak-kanak, serta sesi 'Meet & Greet' dengan karakter animasi kegemaran.
  • Astro Kasih menyumbangkan 300 pek prihatin dan beg sekolah kepada komuniti setempat, serta melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial untuk meringankan beban masyarakat.


Bertemakan 'Meriah Lain Macam' bagi edisi tahun ini, program berkenaan menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat untuk mengimarahkan dan menghidupkan suasana meriah di masjid selain mempopularkan tempat suci umat Islam itu sebagai pusat komuniti.

Di Malaysia, pelbagai komuniti Muslim menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan cara yang unik, daripada cita rasa makanan tempatan, muzik tradisional sehinggalah adat resam yang diwarisi sejak dahulu lagi. 

Hampir 2,000 pengunjung membanjiri Masjid Sri Sendayan untuk menyertai Program Assalamualaikum RaRa 2025, pada Sabtu.

Menyahut semangat kebersamaan, Penolong Naib Presiden Kanan Pemasaran Kandungan Astro, Ezura Shazween Kamal Bahrin berkata, Astro sebagai peneraju kandungan hiburan tempatan, mengajak rakyat Malaysia untuk meneroka dan menghargai kepelbagaian budaya ini.

"Ini merupakan tahun kedua Astro membuat Jelajah Assalamualaikum dan tahun ini kita ke Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan. Objektif utamanya adalah untuk mempromosikan program-program Ramadan yang ada di Astro Oasis terutamanya tazkirah malam Jumaat.

"Di sebalik itu, kita selitkan aktiviti menarik seperti temu bual bersama dengan barisan artis terkenal, Mantai Bersama Astro dan banyak program untuk kanak-kanak seperti pertandingan mewarna, tulisan khat dan memanah.

"Terdapat juga sesi 'Meet & Greet' bersama animasi kegemaran kanak-kanak iaitu Didi & Friends dan Omar & Hana," katanya kepada Astro AWANI di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan, pada Sabtu.

Animasi kegemaran kanak-kanak Didi & Friends turut hadir memeriahkan suasana.

Selain itu, Ezura Shazween berkata, Assalamualaikum RaRa 2025 mahu mengajak rakyat Malaysia menghargai keunikan, tradisi dan budaya yang ada di setiap negeri sempena Ramadan dan Raya.

"Dengan peredaran masa, terdapat segelintir daripada kita yang mungkin sedikit terlupa mengenai amalan tradisi daripada segi juadah, pakaian dan aktiviti dilakukan ketika Ramadan dan Raya. Jadi kita cuba bawakan semula aktiviti berkenaan supaya masyarakat kita mengingati kembali dan menghargai budaya dan tradisi turun-temurun," ujarnya.

Pada Sabtu, Assalamualaikum RaRa 2025 yang berlangsung di Negeri Sembilan berlangsung meriah dengan kehadiran pengunjung yang hadir dengan menyertai pelbagai aktiviti yang disajikan seperti Mantai Bersama Selebriti, rakaman Tazkirah Malam Jumaat dan rewang pemberian pek makanan.

Golongan kanak-kanak juga dapat bertemu dengan karakter animasi kegemaran mereka iaitu Didi and Friends serta Omar dan Hana selain menyertai pertandingan mewarna, tulisan khat dan memanah.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk bertemu barisan selebriti terkenal seperti Sherry Al-Hadad, Zizan Razak, Meerqeen, Jay Iskandar, Azqa Aziz, Keanu Azman, Mawi dan UNIC yang hadir untuk memeriahkan suasana dan menyajikan persembahan yang memukau.

Orang ramai yang hadir ke Program Assalamualaikum RaRa 2025.

Turut hadir, Pengerusi Astro, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz yang sempat beramah mesra bersama pengunjung dengan mengedarkan pek makanan yang disediakan.

Pengerusi Astro, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz mengedarkan pek makanan kepada pengunjung.

Sementara itu, Astro Kasih meneruskan komitmen tanggungjawab sosialnya dengan menyumbangkan 300 pek prihatin kepada komuniti setempat di Negeri Sembilan, Kedah, dan Kelantan. 

Pek prihatin ini mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, dan kurma bagi membantu meringankan beban masyarakat yang memerlukan, khususnya menjelang Ramadan. 

Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pendidikan anak-anak kurang berkemampuan, Astro Kasih turut menyumbangkan 300 beg sekolah kepada Yayasan Munarah menerusi program ‘Kembali ke Sekolah’. 

Selepas siri pertama jelajah Assamulaikum RaRa 2025 Negeri Sembilan, jelajah ini akan diteruskan ke Masjid MADAD, Sungai Petani Kedah pada 8 Februari dan Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kelantan pada 15 Februari.

Jangan lepaskan peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti rewang bersama penduduk tempatan, kongsi rezeki bersama selebriti, pertandingan komuniti, rakaman Tazkirah Malam Jumaat, serta persembahan isitimewa daripada selebriti.

Indahnya lain macam bila kita imarahkan masjid beramai-ramai. Jom datang!