KUALA LUMPUR: Iran berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam industri filem bagi mengukuhkan kerjasama dan pemahaman antara kedua-dua negara, menurut Penasihat Kebudayaan Kedutaan Iran di Kuala Lumpur, Dr Habibreza Arzani.

Beliau berkata sekumpulan pembikin filem Iran akan melawat Malaysia bulan depan sempena Festival Filem Iran untuk meneroka dan membincangkan peluang kerjasama dengan industri filem Malaysia atau stesen televisyen tempatan.

"Terdapat banyak persamaan antara budaya Iran dan Malaysia. Rakyat Iran juga menonton filem Malaysia dan mereka menganggap filem Malaysia menarik. Oleh itu, kita harus berintegrasi dan bekerjasama dalam bidang filem," katanya kepada pemberita semasa sidang media sempena Festival Filem Iran di Malaysia pada Selasa.

Festival Filem Iran di Malaysia yang memasuki edisi ketiga tahun ini akan diadakan dari 20 hingga 23 Feb di Golden Screen Cinemas (GSC) di Mid Valley dan MyTown di sini, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Arzani dalam ucapannya berkata Festival Filem Iran bukan sekadar sambutan mengenai filem, ia adalah jambatan yang menghubungkan budaya, memupuk pemahaman dan menonjolkan warisan seni Iran yang kaya.

Melalui lensa filem Iran, penonton di seluruh dunia dapat memahami dengan lebih mendalam tentang kompleks dan indahnya budaya Iran, tambahnya.

Sebanyak lima filem pelbagai genre termasuk animasi bertajuk Dolphin Boy akan ditayangkan secara percuma kepada orang ramai kali ini.

Filem lain termasuk In The Arms of the Tree - sebuah drama keluarga; Fragrant - sebuah naratif mengenai identiti dan tanggungjawab hidup; Goodbye Shirazi Girl - kisah romantik dan Captain - cerita tentang impian dan ketabahan dalam menghadapi cabaran.

Maklumat lanjut mengenai festival ini boleh layari laman Facebook Kedutaan Iran di Malaysia, laman Facebook Pusat Kebudayaan Iran, laman web GSC dan platform media sosial GSC.

Festival Filem Iran anjuran Pusat Kebudayaan Kedutaan Iran di Kuala Lumpur dengan GSC International Screens dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai rakan kongsi.

Festival ini pertama kali diadakan pada 2018 dan edisi kedua diadakan tahun lepas.

-- BERNAMA