JENAZAH Allahyarham Muhammad Aisy Al Rees Zaquan Adha selamat dikebumikan di Makam Tuan Haji Said, Sikamat, Negeri Sembilan, pada pukul 9.22 pagi.

Penuh hiba, pengebumian Allahyarham berjalan lancar dengan dihadiri kira-kira 100 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara dan rakan terdekat.

Jenazah Allahyarham Muhammad Aisy sebelum ini telah menjalani proses bedah siasat di Unit Jabatan Forensik, Hospital Rembau pada Selasa sebelum dibawa ke kediaman Zaquan untuk pengurusan terakhir Allahyarham.

Terdahulu, Zaquan berkongsi berita kesedihan kehilangan anak bongsunya, Muhammad Aisy Al Rees menerusi kemas kini di laman sosial Instagram Story. 

Kakak ipar Zaquan yang juga pelakon, Rozita Che Wan memaklumkan bahawa anak buahnya itu tidak sedarkan diri pada jam 1 petang dan adiknya, Ayu terus menghubungi talian kecemasan bila melihat anaknya tidak sedarkan diri.

Untuk info, pelakon Ayu Raudhah telah selamat melahirkan anak ketujuhnya itu pada 2 Ogos lalu dengan berat 2.3 kilogram.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 dan turut dikurniakan enam cahaya mata iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 12 Muhammad Aisy Aryann, 11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang berusia dua tahun. - Gempak