PENYANYI popular Krisdayanti bakal mengubat rindu peminatnya apabila muncul dengan sebuah konsert khas 'Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti' yang akan berlangsung 22 Jun ini di Axiata Arena, Kuala Lumpur.


Ringkasan AI
  • Penyanyi popular Krisdayanti akan mengadakan 'Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti' pada 22 Jun di Axiata Arena, Kuala Lumpur. Ini adalah konsert pertamanya di Malaysia sejak 2017.
  • Konsert ini akan menampilkan pengarah muzik terkenal Indonesia, Erwin Gutawa, dan bertujuan mengubat rindu peminat dengan lagu-lagu nostalgia cinta.
  • Tiket untuk konsert ini boleh didapati melalui UberTickets bermula 23 Februari.



Kali Terakhir Adakan Konsert 2017


Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti yang dibawakan oleh JBProduction itu akan mengubat rindu peminat selepas KD kali terakhir muncul dengan konsertnya di Malaysia pada 2017 menerusi Konsert Romansa Krisdayanti.

Ketua Pegawai Kewangan Jaguh Baru Sdn Bhd, Isa A Rani berkata, konsert berkenaan akan menampilkan pengarah muzik terkenal Indonesia Erwin Gutawa. 

"Kami sangat berbangga untuk mempersembahkan Diva dari Indonesia Kris Dayanti yang terus mekar dan menjadi buah hati peminat di negara ini sejak sekian lama.

"Konsert ini juga pasti dinantikan ramai setelah lama Krisdayanti tidak muncul dalam skala persembahan konsert di negara ini.

"Konsert ini juga sebagai kesinambungan dan reportoire yang sangat dekat di hati penonton kedua-dua buah negara," katanya.


Terus Disayangi & Diterima Baik

Bagi KD, Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti sangat istimewa untuk dirinya terus menjalinkan rasa cinta dan kasih sayang yang berputik sejak sekian lama dengan peminat di Malaysia khasnya yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni bintang juara program realiti Asia Bagus 1992 itu.

“Saya akan membawa penonton mendengar dan kembali mengingati  lagu-lagu yang penuh nostalgia cinta diiringi pemuzik di bawah pengarah Erwin Gutawa.

"Saya akui bertuah kerana terus disayangi dan diterima baik dan saya berharap terus mendapat sokongan anda semua hadir pada malam Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti nanti.

"Saya juga berharap bukan saja peminat daripada Malaysia hadir, malah peminat Indonesia yang berada di negara ini turut sama-sama memberi sokongan," katanya.

Mempunyai deretan lagu hits yang sentiasa menjadi siulan peminat, malam Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti bakal menjadi kenangan terindah antara KD dan para peminatnya.

Penampilan KD baru-baru ini di pentas akhir program realiti Gegar Vaganza 11 juga ternyata mencuri perhatian peminat di Malaysia dengan dirinya yang sentiasa anggun meskipun bakal memasuki usia lima siri pada Mac ini.

Butiran tiket dan tempahan boleh dibuat melalui UberTickets bermula 23 Februari. -Gempak