Tapi siapa sahaja yang hadir dalam konsert 'Triad' malam tadi pasti mengakui mutu vokal Awie masih lagi padu dan berada pada tahap yang sangat baik.
Maklumlah, untuk mengekalkan mutu suara yang baik dengan deretan lagu rock yang bernada tinggi itu bukannya mudah, lebih-lebih lagi untuk 'maintain' sepanjang tempoh tiga jam itu.
Justeru bak kata Awie, ia memang kerja gila. Namun nampaknya kerja gila itu sebenarnya menjadi dan berbaloi, apatah lagi dalam usia sebegini. Ia sesuatu yang agak sukar dipercayai dan mampu dilakukan oleh artis lain seusianya.
Triad malam tadi juga telah membuktikan genre rock masih lagi diterima baik oleh pemain industri dan juga peminat tanah air apabila Zepp KL dipenuhi oleh penyokong setia mereka di segenap sudut.
Menurut penganjur, jumlah kehadiran yang dicatatkan sekitar 2,400 iaitu memenuhi kapasiti maksimum yang ditetapkan di Zepp KL.
Yang penting sebenarnya rata-rata peminat keluar dari ruang itu dengan puas hati dan berasa berbaloi dengan harga yang telah dibayar mereka.
"Amat mengagumkan melihat Awie mampu bertahan hebat seperti itu untuk tempoh tiga jam itu. Malah lagu yang dipilih juga semuanya menarik selain merentasi beberapa kumpulan rock hebat seperti Wings dan Search.
"Betullah Awie cakap tu, kerja gila tapi best dan berbaloi!," kata Lokman Hakim, 32, peminat tegar Wings dan Search sejak sekian lama, yang hadir malam tadi.
Triad malam tadi menyaksikan Awie bersama Wings, Search dan Dragon Malaya menyampaikan 25 buah lagu yang pernah popular ketika zaman kegemilangan mereka.
Namun apa yang dinantikan oleh sebahagian peminat yang hadir adalah untuk melihat persembahannya bersama Wings dan Search Kiddin.
Wings membuka tirai pembukaan konsert dengan lapan buah lagu yang penuh bertenaga termasuklah Jerangkung Dalam Almari, Sejati, Awang Trasher, Taman Rashidah Utama dan beberapa lagi lagu yang sentiasa dinantikan.
Sementara bersama Search Kiddin yang menutup aksi persembahan malam tadi pula, Awie melatunkan sepuluh buah lagu.
Nur Nilam Sari, Balada Pemuzik Jalanan, Rock N Roll Pie, Kejora dan Mentari Merah Di Ufuk Timur adalah antara deretan lagu dari album Search telah disampaikan dengan begitu baik oleh Awie.
Kebimbangan bahawa kemungkinan Awie akan memperlahankan sedikit tenaganya di hujung babak persembahan rupanya meleset apabila kesemua mereka begitu 'agresif' dari mula hingga akhir tanpa rehat.
"Tak sangka sebenarnya Awie masih mampu menyampaikan persembahan sebegitu rupa pada usia merentasi 50-an ketika ini. Sangat bertenaga walaupun dia tak rehat sepanjang tempoh show tersebut.
"Sangat puas hati walaupun tiket agak mahal tapi berbaloi untuk tengok Search dan Wings malam ni dan dinyanyikan oleh Awie... puas!," kata Azmir Ahmad, 58.
Melihat usaha, komitmen dan mutu persembahan memukau malam tadi maka wajarlah Awie menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai “First Artiste to Lead Multiple Bands in a Rock Concert 2025”.
Apapun jutaan tahniah kepada penganjur dan semua bandboys yang telah menjayakan konsert 'Triad'!
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)