LEGENDA rock, Datuk Awie meminta semua pihak untuk tidak membandingkan dirinya dengan penyanyi-penyanyi yang pernah menjadi vokalis untuk kumpulan Search Kid Din, sebelum ini.


Ringkasan AI
  • Datuk Awie meminta agar tidak membandingkan dirinya dengan penyanyi-penyanyi lain yang pernah menjadi vokalis untuk kumpulan Search Kid Din, seperti Denden Gonjalez, Amir Masdi, dan Pasya, kerana setiap penyanyi mempunyai kelebihan tersendiri.
  • Gitaris Search, Kid, menyatakan bahawa keserasian mereka bersama Awie adalah unik dan tidak boleh dibandingkan dengan penyanyi lain, menggambarkan hubungan mereka sebagai sangat erat.
  • Awie mengakui bahawa menyanyikan lagu-lagu Search yang dipopularkan oleh Datuk Amy adalah mencabar kerana perbezaan nada suara dan energi yang diperlukan, namun dia berusaha untuk menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan key asal.


Menurut Awie, penyanyi-penyanyi seperti Denden Gonjalez, Amir Masdi, dan Pasya mempunyai kelebihan tersendiri dan mereka juga bakal menjadi penerus legasi pada masa akan datang.

“Semua penyanyi ada kelebihan masing-masing. Bila Kid dan Din sudah membuat pilihan, itu bermakna mereka mempunyai kualiti.

“Buat mereka yang tidak terpilih, mungkin belum sampai waktu mereka bersama. Setiap penyanyi ada kelebihan berbeza. Jadi, tak adil kita banding-bandingkan.

“Mereka pula merupakan penyanyi baharu dan sudah pasti mereka mahu buktikan bahawa mereka juga hebat.

“Saya sendiri pernah bercakap dengan Amir Masdi. Saya minta dia buat yang terbaik ketika bersama Search Kid Din. Dia bakal menggantikan kami di sini satu hari nanti,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Sejati itu berkata sedemikian ketika ditemui di sesi latihan Konsert Triad di Al Pamelo Studio, Ampang, baru-baru ini.


Hubungan Kami Sudah Berada Di Tahap Lain

Sementara itu, gitaris Search, Kid turut menyifatkan keserasian mereka bersama Awie juga berbeza jika dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi lain.

“Mana boleh nak bandingkan mereka dengan Awie. Hubungan kami ini berbeza. Kami ini seperti menangis satu bahasa dan berbual juga satu bahasa,” katanya.


Bukan Mudah Nak Nyanyi Macam Amy

Dalam pada itu, Awie akui bukan mudah buat dirinya untuk membawakan lagu-lagu Search seperti mana yang dipopularkan oleh penyanyi asal yang juga legenda rock, Datuk Amy.

“Orang luar mungkin nampak muzik rock ini sama sahaja tetapi energinya berbeza-beza terutamanya lagu Search. Saya juga baru tahu hal ini.

“Untuk saya cope dengan suara Amy, dia bercakap pun nada tinggi. Suaranya halus manakala suara saya pula ada base sendiri.

“Bila base nak kejar ke nada tinggi, memang memerlukan tenaga luar biasa. Ini adalah cabaran buat saya. Malah, saya juga akan menyanyikan lagu-lagu Search dengan key yang asal,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Konsert Triad yang menghimpunkan tiga band rock iaitu Wings, Search Kid Din, dan Dragon Malaya akan berlangsung di Zepp KL, Kuala Lumpur pada 14 Februari ini.

Bukan sekadar melakar sejarah dalam industri muzik, konsert itu bakal mencipta nama dalam The Malaysian Book of Records, apabila seorang penyanyi utama mengemudi tiga kumpulan rock besar di satu pentas.

Dalam pada itu, tiket untuk konsert TRIAD sudah mula dijual sejak 7 Disember lalu dan boleh didapati secara dalam talian di laman web rpm.ubertickets.asia dengan harga bermula RM258 hingga RM10,000 (VIP Box). -Media Hiburan