Jenazah disolatkan di Masjid Darul Ehsan SS15 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 Subang Jaya, Selangor.
Anak lelaki tunggal Allahyarham turut membantu mengebumikan jenazah ibunya.
Ridzuan atau Abd Ridzuan Abdul Mutalib ketika ditemui enggan ditemu bual dan minta diberikan ruang kerana masih bersedih selain tidak mampu berkata-kata.
Beliau meletakkan bunga mawar merah di atas pusara Allahyarhamah.
Antara rakan selebriti yang turut hadir memberikan penghormatan adalah Iqram Dinzly, Zain Zaidin, Azza Elite, Anne Abdullah dan Jasmin Hamid.
Sebelum ini, Akiko Okumura meninggal dunia pada Jumaat.
Rata-rata pengikut media sosial Ridzokumura turut terkejut dengan berita duka itu sementelah baharu sahaja melihat Akiko dalam siaran langsung malam Jumaat.
Setakat ini, punca kematian Akiko masih tidak diketahui dan anak saudara Ridzokumura iaitu aktres Zarina Zainuddin tidak menjawab panggilan telefon.
Untuk rekod, Ridzokumura dan Akiko yang merupakan warga negara Jepun, mendirikan rumah tangga pada Februari 2009.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Sky Taizo Okumura, yang baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-13 semalam. -- Sinar Harian
