PELAKON Hollywood, Michelle Trachtenberg dilaporkan meninggal dunia pada usia 39 tahun di apartmennya di Manhattan, New York City.

Trachtenberg yang terkenal sebagai bintang kanak-kanak dalam filem Harriet the Spy, turut mencipta nama dalam siri televisyen popular seperti Gossip Girl dan Buffy the Vampire Slayer.

Menurut polis New York (NYPD), panggilan 911 diterima pada Rabu jam 8 pagi waktu tempatan dan pihaknya mendapati seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada tindak balas.

Pasukan keselamatan EMS yang berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

NYPD dalam satu kenyataan mengklasifikasikan kes sebagai tiada unsur jenayah, bagaimanapun siasatan masih diteruskan.

Punca kematian rasmi Trachtenberg akan dikeluarkan pejabat Pemeriksa Perubatan.

Terdahulu pada Rabu, sumber NYPD memberitahu bahawa Trachtenberg dilaporkan mempunyai masalah perubatan baru-baru ini dan kematiannya mungkin berkaitan dengan sebab semula jadi dan tidak mencurigakan.

“Keluarga memohon privasi dalam menghadapi berita yang mendukacitakan ini. Tiada butiran lanjut buat masa ini,” kata wakil Trachtenberg kepada CNN dalam satu kenyataan.

Sebagai bintang kanak-kanak, Trachtenberg pernah mendominasi Nickelodeon pada tahun 90-an.

Dia mula-mula mendapat perhatian dengan peranannya dalam "The Adventures of Pete & Pete" dan seterusnya membintangi filem cereka pertama Nickelodeon, "Harriet the Spy" pada 1996.

Pada 2000, Trachtenberg memegang watak sebagai Dawn Summers pada siri hit The WB "Buffy the Vampire Slayer," memainkan peranan sebagai adik perempuan Buffy (Sarah Michelle Gellar).

Terbaharu, Trachtenberg dilaporkan bakal berkongsi skrin dengan Rosie O'Donnell, Gregory Smith dan J. Smith-Cameron bagi membintangi filem "Succession" dan memainkan peranan ibu dalam projek itu.

Bintang Nickelodeon lain yang pernah mengenali dan bekerja dengan Trachtenberg, seperti Melissa Joan Hart dan Kenan Thompson, turut mengucapkan takziah.