Bertemakan “action to live,” elemen dramatik yang dipersembahkan mencetuskan debaran.
Kemunculan mengejut pasukan Digital Karma, yang muncul secara tiba-tiba sambil mengedarkan risalah kepada orang ramai, memulakan momentum tersebut.
Ketegangan memuncak apabila mereka merempuh masuk ke Bangunan Yayasan Selangor, mengambil formasi di hadapan skrin LED Bukit Bintang, dan memaparkan klip eksklusif sisi lain Ibu Zara yang penuh misteri.
Namun, klimaks sebenar tercetus dengan kemunculan watak Iman Shah di atas bangunan, memegang smoke flare dengan penuh gaya, sebelum melompat dramatik dari bangunan dan melarikan diri dengan motosikal. Aksi ini bukan sahaja mencuri perhatian, tetapi meninggalkan penonton terpaku terutama di sosial media.
Menurut Penolong Naib Presiden Kanan Pemasaran Kandungan Astro, Ezura Shazween Kamal Bahrin, gimik tersebut memberikan gambaran awal kepada jalan cerita yang lebih mendalam dan mendebarkan dalam musim kedua.
“Gimik yang kita dapat lihat sebentar tadi adalah imbasan kepada One Cent Thief 2 yang akan ditayangkan pada 31 Januari nanti, dilakonkan oleh Syafiq Kyle sebagai Iman Shah. Dia cuba untuk membongkar dan mendedahkan rahsia watak yang dimainkan oleh Sofia Jane, iaitu Ibu Zara,” katanya.
Berbeza dengan musim pertama, musim kedua menampilkan lebih banyak aksi mendebarkan, termasuk babak letupan serta penggunaan pelakon tambahan yang lebih ramai.
Ezura turut menekankan komitmen Astro untuk menghasilkan karya tempatan bertaraf antarabangsa sambil mengharapkan sokongan penonton.
“Kami komited untuk meningkatkan karya tempatan. Namun, sokongan untuk menonton di platform yang betul seperti Astro dan Sooka amat penting supaya kami dapat terus memperjuangkan karya tempatan,” tambahnya.
One Cent Thief telah menerima pengiktirafan signifikan, termasuk anugerah Drama Bersiri TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2024, mengalahkan siri popular seperti “Rindu Kasih” dan “Jaga Aku Selamanya.”
Selain itu, siri ini juga meraih Best Drama Series di Asian Academy Creative Awards 2023 di Singapura serta anugerah Best Screenplay untuk pencipta dan penulisnya, Alfie Palermo.
Musim kedua akan mengekalkan barisan pelakon asal termasuk Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, dan Faizal Hussein, sambil memperkenalkan wajah baharu seperti Trisha Ooi dan Syarul Ezani.
Jadi jangan lepaskan peluang untuk tonton siri jenayah berkonsep thriller ini yang dijadualkan menemui penonton bermula 31 Januari di platform Astro dan Sooka.