LOS ANGELES: Penyanyi Rap Amerika Syarikat, A$AP Rocky dibebaskan daripada pertuduhan serangan jenayah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Juri mengumumkan keputusan itu selepas perbincangan singkat di mahkamah Los Angeles pada Selasa.

A$AP Rocky, atau nama sebenarnya Rakim Mayers, 36, berdepan dua pertuduhan melakukan serangan dengan senjata api di Hollywood pada November 2021.

Rocky didakwa mengacukan pistol dan melepaskan tembakan ke arah bekas rakannya, A$AP Relli ketika pertengkaran, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan ringan di tangan.

Bagaimanapun, peguam bela A$AP Rocky berhujah bahawa senjata itu hanyalah "pistol prop".

Dua anggota kumpulan hip-hop A$AP Mob turut memberi keterangan menyokong dakwaan itu.

Pasangannya, penyanyi terkenal Rihanna hadir pada beberapa sesi perbicaraan yang berlangsung selama beberapa minggu.

-- BERNAMA