Ringkasan AI
- XPDC Kita Pengyu akan mengeluarkan single baharu bertajuk 'Satu Arah' pada 21 Februari, diterbitkan oleh Music Valley Malaysia dan Life Record. Lagu ini adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh anggota kumpulan tersebut.
- 'Satu Arah' mengekalkan rentak Heavy Metal dan rock lembut yang menjadi identiti XPDC KPY. Lagu ini menampilkan penyanyi baharu, Ary, dan pemain gitar utama, Jeff, selepas pemergian Mael pada 2023.
- Video klip 'Satu Arah' akan dikeluarkan pada 24 Februari. XPDC KPY juga sedang menyiapkan single kedua yang tidak sempat dikeluarkan semasa hayat Mael. Kumpulan ini berharap untuk mengembalikan zaman kegemilangan mereka dan mendapat sambutan baik daripada peminat.
Single bertajuk 'Satu Arah' itu bakal dikeluarkan pada 21 Februari dan diterbitkan oleh Music Valley Malaysia serta Life Record.
Menurut Pengurus XPDC KPY, Yazid Selamat, lagu terbaharu yang akan dikeluarkan ini adalah hasil tangan sepenuhnya oleh anggota kumpulan itu iaitu dari sudut penciptaan keseluruhan lagu tersebut.
"'Satu Arah' adalah hasil ciptaan XPDC KPY sepenuhnya, dari susunan muzik, lirik, dan juga penerbitan, dan lagu ini akan menemui peminat seperti tarikh yang telah ditetapkan.
"Kita akui memang mengambil masa yang lama sedikit untuk mengeluarkannya dalam memastikan ia mampu mencapai spesifikasi yang diperlukan dan menepati kehendak peminat setia XPDC KPY," jelas Yazid kepada Astro AWANI pada Selasa.
Menurut Yazid, 'Satu Arah' masih lagi mengekalkan rentak irama yang dibawa oleh kumpulan tersebut seperti mana yang dimahukan oleh peminat mereka.
Justeru, ia masih lagi berada dalam radar Heavy Metal selain turut diselangi oleh irama rock yang lembut seperti mana lagu-lagu yang pernah mengangkat kumpulan itu sejak dari dahulu lagi.
"Untuk lagu ini, XPDC KPY bersama dengan penyanyi baharu iaitu Ary selepas pemergian Mael sejak 2023. Malah ini juga adalah sentuhan pertama dalam lagu yang menampilkan Jeff selaku pemain gitar utama.
"Walaupun begitu, mereka masih lagi mengekalkan jiwa XPDC sama seperti dahulu dan peminat sudah pun menerima kehadiran mereka sejak sekian lama bersama mereka," jelas Yazid.
Menurut Yazid lagi, pembikinan video klip 'Satu Arah' sudah pun siap sepenuhnya menerusi sesi penggambaran yang telah diadakan pada Januari lalu.
"Video klip lagu ini pula akan dikeluarkan oleh Life Record pada 24 Februari ini di mana semua peminat XPDC KPY boleh dapatkan akses untuk menontonnya dalam bentuk digital.
"Pembikinan video klip tersebut telah diadakan selama dua hari dan telah melalui proses akhir sebelum ia dikeluarkan untuk tontonan semua peminat," kata Yazid yang berharap agar single ini mampu mengubat kerinduan peminat XPDC KPY yang telah lama mahukan lagu baharu daripada mereka.
Yazid dalam pada itu turut memaklumkan bahawa kumpulan itu juga sedang sibuk menyiapkan single kedua yang akan menyusul tidak lama lagi.
Menurutnya, lagu kedua itu adalah lagu yang tidak sempat dikeluarkan semasa hayat Mael dan ia antara yang istimewa untuk peminat tegar mereka.
Yazid berharap 'Satu Arah' akan mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat XPDC KPY.
"Kita mahu kembali bersaing dan mengembalikan zaman kegemilangan XPDC KPY satu ketika dahulu dan berharap ini adalah titik tolak untuk XPDC KPY berada di atas platform yang lebih baik, termasuk mampu dicalonkan dalam apa jua bentuk persaingan.
"Single 'Satu Arah' ini adalah taruhan yang diyakini mampu mencapai maksud itu dalam suasana kini yang sudah berbeza berbanding zaman keunggulan rock kapak iaitu di era 80an dan 90an," katanya lagi.
XPDC Kita Pengyu kini dibarisi oleh Ary (vokalis), Jeff (gitar utama), Zuar (bass) dan Amy (dram).
Kumpulan ini pernah berada di kemuncak industri muzik tanah air menerusi album Darjah Satu (1990), Timur Barat (1992), Kita Peng-Yu (1994), Brutal (1997), dan Rasopariso (2009).
