BANDAR SRI SENDAYAN: Jelajah Assalammualaikum RaRa 2025 Astro kembali lagi dengan misi menyatukan masyarakat dalam suasana penuh keceriaan menjelang Ramadan dan Syawal.

Dalam temu bual bersama Astro AWANI, selebriti popular, Zizan Razak, berkongsi rasa terujanya menyertai program berprestij ini. 

Menurut Zizan, program ini bukan sekadar satu acara biasa, tetapi juga platform yang mampu menyatukan masyarakat untuk berkongsi kegembiraan dalam suasana yang harmoni. 

“Bagi saya, keseronokan dan kemeriahan Ramadan serta Raya lebih terasa bila diraikan bersama begini. Jelajah Assalammualaikum Astro bukan sekadar satu acara, tetapi satu peluang untuk kita berkumpul dan bertukar cerita dalam suasana yang meriah lain macam.

"Memang saya rindukan pengalaman macam ini suasana di kampung dulu, sejak tinggal di ibu kota kesibukan itu tidak dapat dielakkan, saya memang sukakan aktiviti yang diadakan seperti Mantai Bersama Astro kerana dapat berbual dan bergotong-royong dengan pengunjung yang hadir," katanya.

Ketika ditanya mengenai persiapan peribadinya menjelang Ramadan tahun ini, Zizan menekankan pentingnya persiapan fizikal dan rohani. 

“Setiap tahun, saya cuba menyambut Ramadan dengan lebih bermakna. Persiapan saya bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga rohani. Yang pastinya saya akan cuba memperbaiki hubungan dengan orang sekeliling. Hubungan sesama manusia pun penting,” jelasnya lagi. 

Zizan turut menyeru masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan acara jelajah ini yang bakal diadakan di beberapa lokasi seluruh negara. 

Selepas siri pertama jelajah Assamulaikum RaRa 2025 Negeri Sembilan, jelajah ini akan diteruskan ke Masjid MADAD, Sungai Petani Kedah pada 8 Februari dan Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kelantan pada 15 Februari.

“Saya ingin mengajak semua untuk datang ke Jelajah Assalammualaikum 2025 Astro dan merasai sendiri kemeriahannya! Inilah masanya untuk kita menyambut Ramadan dan Raya dengan penuh kegembiraan, mengeratkan silaturahim, dan berkongsi rezeki,” tambah Zizan. 

Dengan tema "Meriah Lain Macam”, Jelajah Assalammualaikum RaRa 2025 Astro menjanjikan pengalaman unik yang menggabungkan elemen tradisi dan kemodenan untuk semua lapisan masyarakat.