Diperkenalkan pertama kali di Shenzhen, China, model ini kini memasuki pasaran Malaysia dengan ciri serba baharu yang mengutamakan fleksibiliti dan prestasi tinggi.
Menurut Pengurus Kanan Pemasaran HUAWEI Malaysia CBG, Teoh Eu Jin, HUAWEI Mate XT Ultimate Design menggunakan mekanisme tiga lipatan inovatif yang membolehkan lipatan ke dalam dan ke luar dengan lancar.
“Ia menampilkan sistem engsel berketepatan tinggi yang diperbuat daripada bahan bendalir bukan-Newtonian, memberikan ketahanan dan fleksibiliti unggul,” katanya pada Majlis Pelancaran HUAWEI Mate XT di ibu negara pada Selasa.
Huawei terus mengekalkan sentuhan estetiknya dengan identiti reka bentuk simetri Star Diamond yang menampilkan permukaan berkilau hasil pemotongan berketepatan tinggi.
Reka bentuk ini bukan sahaja menonjol dari segi estetika, tetapi juga menjamin kemudahan penggunaan yang lancar dan ergonomik.
Salah satu keunikan utama telefon ini ialah skrin ultra nipis 3.6mm yang memberikan keseimbangan antara portabiliti dan pengalaman skrin luas.
Dengan sistem engsel dwi-trek, lipatan HUAWEI Mate XT Ultimate Design lebih kukuh, tahan mampat apabila dilipat ke dalam, dan tahan tegangan apabila dilipat ke luar.
Bahan fleksibel pelbagai arah yang digunakan dalam Mate XT menyelesaikan cabaran industri dalam menahan tekanan dan regangan, sekali gus meningkatkan ketahanan lipatan skrin sebanyak 25 peratus.
Peranti ini juga menggunakan bahan bendalir bukan-Newtonian serta kaca UTG bersaiz besar 322 cm² untuk meningkatkan ketahanan hentakan sebanyak 30 peratus, menjadikannya kukuh apabila diuji, tetapi lembut apabila diperlukan.
Engselnya diperbuat sepenuhnya daripada komponen teras yang menggunakan Ultra-high Strength Steel dengan daya tahan ubah bentuk sehingga 1,900 MPa, memastikan ketahanan luar biasa.
HUAWEI Mate XT Ultimate Design hadir dengan paparan 3K HUAWEI X-True yang boleh dibuka sehingga 10.2 inci dengan nisbah 16:11, sesuai untuk kegunaan produktiviti dan hiburan.
Telefon ini menyokong tiga mod skrin untuk pengalaman penggunaan yang lebih fleksibel.
Mod skrin tunggal sesuai untuk kegunaan asas seperti membuat panggilan, mengambil gambar, atau membaca mesej.
Mod dwi-skrin memudahkan pengguna untuk membaca artikel, mengurus e-mel, atau melakukan kerja pejabat secara lebih efisien.
Mod tri-skrin memberikan pengalaman paparan seperti tablet, sesuai untuk menyunting dokumen, membuat panggilan video sambil merujuk maklumat lain, atau menikmati kandungan hiburan secara sinematik.
Fungsi paparan 1:1, 1:2, dan 2:1 split-screen membolehkan pengguna melakukan multitasking dengan lebih lancar, menjadikan peranti ini alat yang sempurna untuk profesional dan pengguna kreatif.
Dalam aspek fotografi, HUAWEI Mate XT Ultimate Design dilengkapi teknologi kamera Ultra Apertur XMAGE dengan apertur fizikal boleh laras sehingga 10 tahap.
Ciri ini membolehkan pengguna menyesuaikan tetapan kamera secara manual untuk mendapatkan hasil tangkapan terbaik dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Turut terdapat fungsi Ultra Speed Snapshot bagi memastikan setiap aksi pantas dapat dirakam dengan ketepatan tinggi, menjadikannya ideal untuk fotografi sukan, hidupan liar, atau momen spontan.
Teknologi inovatif dalam HUAWEI Mate XT Ultimate Design turut digunakan dalam satu lagi model telefon boleh lipat Huawei, iaitu HUAWEI Mate X6.
Model ini menggunakan bingkai aluminium gred penerbangan, reka bentuk seni bina teragih, dan kamera Ultra Chroma XMAGE, menjadikannya antara peranti boleh lipat paling canggih dalam pasaran.
Skrin luar peranti ini pula menggunakan Kunlun Glass 2nd Gen yang memberikan ketahanan lebih tinggi terhadap hentakan dan jatuhan.
HUAWEI Mate XT Ultimate Design ditawarkan dalam warna merah dan hitam dengan harga RM14,999.
Pra-tempahan dibuka sehingga 14 Mac 2025 di HUAWEI Experience Stores seluruh negara, laman rasmi HUAWEI, HUAWEI Official Store di Shopee, HUAWEI Flagship Store di Lazada dan HUAWEI Official TikTok Shop.
Pelanggan yang membuat tempahan awal akan menerima Perlindungan Skrin 1 Tahun HUAWEI secara percuma bernilai RM3,999.
Sebagai alternatif, HUAWEI Mate X6 yang ringan tetapi tahan lasak juga boleh didapati di HUAWEI Experience Stores seluruh negara, laman rasmi HUAWEI, HUAWEI Official Store di Shopee dan HUAWEI Flagship Store di Lazada pada harga RM8,688.
Pelanggan boleh menikmati baucar eksklusif sehingga RM1,000 serta hadiah percuma bernilai RM3,498.
