Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata PHU diberikan secara bulanan kepada veteran ATM yang mengalami kecederaan dengan darjah hilang upaya satu peratus hingga 100 peratus manakala Ganjaran Hilang Upaya (GHU) diberikan secara sekali beri kepada anggota ATM yang mengalami kecederaan semasa tugas aktif.
"Setakat 6 Mac ini, sebanyak 218 orang telah menerima GHU dengan peruntukan RM6.88 juta," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Negara hari ini.
Mengenai Elaun Pelajaran (EP), Adly berkata ia diberikan secara sekali bayar antara RM1,600 hingga RM5,400 setahun mengikut tahap pendidikan.
"Kadar Elaun Layanan Sentiasa pula dinaikkan daripada RM440 sebulan kepada RM1,500 sebulan kerana kita tahu bahawa mereka yang hilang upaya sebahagiannya harus dijaga oleh anggota keluarga," katanya.
Mengenai skim bantuan lain bagi meringankan kos sara hidup harian dan bantuan sara hidup veteran tidak berpencen, Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran menyediakan skim bantuan sara hidup iaitu sebanyak RM500 sebulan, berbanding RM300 sebelumnya.
"Hingga Februari tahun ini, sebanyak 31,858 veteran menerima bantuan tersebut dengan peruntukan RM31.65 juta.
"Bagi inisiatif perumahan veteran, sasaran pembinaan rumah baharu bagi veteran pada tahun ini sebanyak 60 rumah manakala pembaikan rumah veteran pula kita sasarkan 220 buah rumah," katanya.
Mengenai Pingat Jasa Malaysia (PJM), Adly berkata status terkini jumlah penerima PJM adalah 45,764 orang dan masih berbaki 76,052 orang.
"Pingat ini merupakan Campaign Medal dianugerahkan kepada veteran ATM yang berkhidmat semasa operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) atau dikenali Perkhidmatan Semasa Darurat Kedua (1 Jan 1969 hingga 2 Dis 1989) atau hingga 17 Okt 1990 bagi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).
"Kementerian komited untuk terus menyampaikan PJM kepada Veteran ATM yang berkelayakan," katanya.
-- BERNAMA
