SEREMBAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) dan pihak berkuasa negeri perlu meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan di kawasan Bukit Pelanduk, Port Dickson susulan penemuan 100 bangkai babi di situ hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihaknya menerima laporan penemuan bangkai itu di kawasan kelapa sawit yang merupakan tanah persendirian, daripada orang awam.

"Saya sekali lagi mengingatkan JPVNS dan pihak berwajib termasuk polis untuk memperketat penguatkuasaan di kawasan berkenaan. Tiada pemeliharaan babi di Bukit Pelanduk tetapi ada bangkai haiwan itu dihantar ke situ.

"Ini memberikan kesan tidak baik kepada pemilik tanah dan saya tidak mahu kawasan itu menjadi kawasan pembuangan seperti ini, kerana isu ini sensitif kepada penduduk," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini hari ini.

Aminuddin turut menyifatkan tindakan pembuangan bangkai itu sebagai kurang hormat dan mahu perbuatan tersebut dihentikan kerana bangkai mengeluarkan bau busuk, berisiko kepada kesihatan manusia dan menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Sebelum ini, penemuan bangkai babi pernah dilaporkan berlaku di kawasan Site A Tanah Merah, Port Dickson menerusi aduan bau busuk diterima JPVNS pada 13 Feb, kemudiannya membawa kepada kewujudan lubang pembuangan sisa ternakan itu.

Susulan itu, JPVNS melaksanakan aktiviti nyah kuman di lokasi berkenaan bagi mengelakkan penyebaran penyakit daripada sisa haiwan itu.

-- BERNAMA