JOHOR BHARU: Polis menahan 14 lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes merusuh dan khianat di hadapan sebuah pusat sukan (sports hub) di Jalan Austin Heights di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 20 tahun yang berada di dalam kenderaannya jenis pacuan empat roda secara bersendirian di hadapan sports hub tersebut, telah didatangi sekumpulan individu yang bertindak menyerang dan merosakkan kereta mangsa.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian siku kanan dan tapak tangan kiri akibat terkena serpihan kaca," katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 46 tahun dan siasatan mendapati 10 daripada mereka mempunyai pelbagai rekod lampau kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah, manakala empat lagi tiada rekod jenayah lampau.

Raub turut menyatakan bahawa hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas semua suspek adalah negatif dadah.

Katanya kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Katanya kes turut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA