KUALA LUMPUR: Lima belas rakyat Malaysia termasuk tiga wanita yang menjadi mangsa sindiket job scam atau penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar selamat tiba di tanah air, pada Ísnin.

Kesemua mereka yang berusia 19 hingga 44 tahun itu tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Perlis selepas perjalanan kira-kira 25 jam dari wilayah Tak, Thailand.

Kementerian Luar memberitahu, setibanya di Malaysia, mereka diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan lanjut.

"Mereka adalah antara 261 mangsa yang diselamatkan daripada sindiket penipuan itu dan diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari lalu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Selain Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Kementerian Luar memaklumkan, proses penghantaran pulang mangsa-mangsa itu turut dilakukan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Media sebelum ini melaporkan 261 mangsa diselamatkan pihak berkuasa Myanmar di bandar sempadan KK Park dan Shwe Kokko sebelum dipindahkan ke Thailand untuk proses penghantaran pulang ke negara masing-masing.

Proses dokumentasi kemudian dilakukan pihak berkuasa Thailand sebelum menghantar proses penghantaran pulang mangsa.