Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan susulan keputusan 1MDB baru-baru ini untuk menarik balik saman terhadap Riza Shahriz berhubung dakwaan penyelewengan dana sebanyak AS$248 juta bagi membiayai penerbitan filem dan pembelian pelbagai hartanah.
"Perlu diambil perhatian bahawa prosiding di hadapan kita melibatkan perbicaraan selama sembilan hari dan merangkumi 8,000 halaman dokumen serta sekurang-kurangnya 30 sesi pengurusan kes.
"Tambahan pula, terdapat permohonan interlokutori, penyediaan dokumen dan pengumpulan bukti sebagai sebahagian daripada proses perbicaraan serta sesi soal balas yang panjang terhadap saksi plaintif oleh peguam bela pihak defendan, yang memerlukan persiapan rapi dan kajian terperinci.
"Tidak dinafikan bahawa semua ini bukan tugas mudah kepada pihak terlibat. Oleh itu, kosnya adalah sebanyak RM225,000 dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula," katanya dalam penghakiman.
Pada Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya memfailkan saman terhadap Riza Shahriz, Red Granite Pictures dan Red Granite Capital Ltd kerana didakwa menerima sekitar AS$248 juta dana yang disalahgunakan untuk kepentingan peribadi mereka, termasuk membiayai sebuah filem dan membeli pelbagai hartanah.
Saman itu ditarik balik susulan keterangan saksi defendan iaitu Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang menyatakan satu representasi dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara agar suatu penyelesaian secara global dapat dicapai dalam kes saman ini.
Mohamad Zamri menerusi pernyataan saksinya berkata Jabatan Peguam Negara telah bersetuju dengan representasi itu dan merekodkan penghakiman persetujuan di Mahkamah Sesyen di sini pada 14 Mei 2020 sebagai penyelesaian global dalam kes saman itu.
Pada 14 Mei 2020, Mahkamah Sesyen di sini melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion), didakwa diseleweng daripada dana 1MDB.
Perbicaraan bermula pada 16 Okt tahun lalu dan pihak plaintif telah memanggil tiga saksi termasuk bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan serta bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk memberi keterangan.
1MDB mendakwa Riza Shahriz telah menyeleweng dana mereka daripada ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau secara sengaja atau melulu gagal menyoal sumber dana itu.
Oleh itu, pihak plaintif menuntut perisytiharan bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab terhadap dana yang diselewengkan dan menuntut pembayaran balik.
Menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan pada 25 Ok 2021, Riza Shahriz dan kedua-dua syarikatnya mendakwa mereka telah mendapat pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
