KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,062 mangsa banjir di Sabah dan Sarawak masih berlindung di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri setakat 8 pagi ini.

Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 1,061 orang daripada 332 keluarga pagi ini, berbanding 1,047 orang melibatkan 325 keluarga malam tadi.

Sebanyak 707 orang (234 keluarga) ditempatkan di tiga PPS di Beaufort, 252 orang (63 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan, manakala 102 orang (35 keluarga) di sebuah PPS daerah Membakut.

Menurut kenyataan itu, 18 kampung terjejas banjir dengan 13 daripadanya di Membakut, Beaufort (tiga), dan Kinabatangan (dua).

Di SARAWAK, sebanyak 1,001 orang mangsa banjir masih berada di sembilan PPS di empat bahagian iaitu Bintulu, Miri, Mukah dan Sibu, meningkat berbanding 992 orang malam tadi.

Sekretariat JPBN Sarawak dalam laporan terkininya memaklumkan, peningkatan berlaku berikutan pertambahan jumlah mangsa di Bintulu daripada 274 orang kepada 281 orang di dua PPS manakala di Miri bertambah kepada 279 mangsa daripada 277 orang di tiga PPS.

Jumlah mangsa di Bahagian Mukah pula kekal pada 438 orang di tiga PPS, sementara masih terdapat tiga lagi mangsa berlindung di satu PPS di Bahagian Sibu. - BERNAMA